Ahad, 3 March 2024 | 5:54pm
Ahli keluarga atlet SUKMA Terengganu, Allahyarham Wan Muhammad Haikal Wan Hussin, 21, berkumpul di Hospital Tuanku Jaafar selepas mangsa rebah tidak sedarkan diri ketika menyertai pertandingan di Dewan Komuniti Taman Coral Height. - Foto NSTP/Azrul Edham
Ahli keluarga atlet SUKMA Terengganu, Allahyarham Wan Muhammad Haikal Wan Hussin, 21, berkumpul di Hospital Tuanku Jaafar selepas mangsa rebah tidak sedarkan diri ketika menyertai pertandingan di Dewan Komuniti Taman Coral Height. - Foto NSTP/Azrul Edham

'Arwah bersemangat mahu sertai SUKMA, namun apakan daya cita-citanya tak tercapai' - Kakak

KUALA TERENGGANU: Pesilat Terengganu, Wan Muhammad Haikal Wan Hussin yang meninggal dunia awal pagi tadi, sanggup menolak beberapa tawaran menyambung pengajian ke universiti demi memberi tumpuan untuk mewakili Terengganu ke Sukan Malaysia (SUKMA) 2024.

Kakak Allahyarham, Wan Nor Haslinda, berkata tahun lalu adiknya menerima tawaran daripada beberapa universiti awam, namun anak keempat daripada lima beradik itu berhasrat untuk menyambung pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda selepas SUKMA.

"Dia (Allahyarham) memang bersemangat hendak masuk SUKMA kerana tahun ini tahun terakhir dia boleh mewakili Terengganu (ke SUKMA) kerana usianya sudah 21 tahun. Namun, apakan daya cita-citanya itu tidak tercapai," katanya ketika dihubungi Bernama.

Wan Nor Haslinda berkata, kali terakhir dia bertemu dengan Wan Muhammad Haikal yang dikenali sebagai seorang yang pendiam itu adalah pada awal Februari lepas ketika Allahyarham berkunjung ke rumahnya di Kuala Terengganu.

Jenazah Wan Muhammad Haikal dijangka tiba di Terengganu lewat petang ini dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Alur Selising di Jerteh selepas solat Isyak.

Wan Muhammad Haikal meninggal dunia di Hospital Tuanku Ja'afar, Seremban, selepas tidak sedarkan diri ketika pertandingan prapemilihan SUKMA petang semalam.

Setiausaha Agung Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) Bibi Aishah Golbal Shah berkata atlet tersebut jatuh di gelanggang ketika pertandingan berlangsung di Dewan Komuniti Taman Coral Heights di Sikamat, Seremban.

Sementara itu, kerajaan Terengganu merakamkan ucapan takziah dan dukacita atas pemergian Allahyarham yang disifatkan sebagai atlet berbakat dan berpotensi besar.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan negeri Hishamuddin Abdul Karim berkata arwah adalah atlet sasaran pingat SUKMA yang akan bertanding dalam kategori Putra l (85-90 kilogram).

Beliau berkata, laporan kematian Wan Muhammad Haikal diterima pagi tadi dan pihaknya sedang menunggu laporan kronologi kes secara terperinci.

"Dalam rekod Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), ini ialah kes pertama berlaku dalam aktiviti sukan silat dan ia pastinya mengejutkan semua pihak.

"Pihak MSNT akan memperhalusi insiden ini dengan terperinci dan menyeluruh. Tindakan susulan akan diambil," katanya dalam kenyataan hari ini.

Hishamuddin berkata urusan membawa jenazah Allahyarham dari Negeri Sembilan ke Besut, serta kebajikan keluarga akan diuruskan oleh MSNT. - BERNAMA

Berita Harian X