Ahad, 3 March 2024 | 3:21pm
Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan. - Bernama
Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan. - Bernama

Dividen KWSP 5.5 peratus masih tinggi - Amir Hamzah

TAPAH: Jurang kadar dividen antara simpanan konvensional dan simpanan syariah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi tahun 2023 telah berkurang berbanding sebelumnya, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Amir Hamzah berkata sebelum ini perbezaan kadar dividen simpanan konvensional dan simpanan syariah adalah lebih kurang perpuluhan enam (0.6) peratus tetapi tahun ini hanyalah perpuluhan satu (0.1) peratus.

"Kalau tengok dari segi pulangan 5.5 peratus untuk skim konvensional, ia masih antara tertinggi (dividen) di Malaysia pada masa sekarang dan syariah pun 5.4 peratus. Satu pulangan yang amat baik sekali," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Terdahulu, KWSP dalam kenyataan mengumumkan kadar dividen 5.50 peratus bagi simpanan konvensional dengan jumlah agihan sebanyak RM50.33 bilion, manakala dividen 5.40 peratus untuk simpanan syariah dengan jumlah agihan sebanyak RM7.48 bilion membawa kepada keseluruhan jumlah agihan pendapatan bagi 2023 sebanyak RM57.81 bilion.

Pembayaran dividen itu menandakan peningkatan yang ketara dari 2022, yang mana kadar dividen berada pada 5.35 peratus bagi simpanan konvensional dan 4.75 peratus bagi simpanan Syariah.

Sementara itu, Amir Hamzah berkata memandangkan Malaysia semakin menjadi negara menua, beliau turut memberi peringatan kepada orang ramai supaya membuat simpanan yang mencukupi untuk hari persaraan mereka.

"Kita kena menyimpan secukupnya untuk masa kita nak bersara. (Sebagai contoh) KWSP lebih lama dia (ahli) simpan lebih banyak the compounding effect (impak ketara) akan ada, lebih cukup simpanan untuk semua ahli," katanya.

Terdahulu hari ini, beliau menghadiri sesi turun padang ke Program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) di sebuah pasar raya di sini, sebelum ke Program Rintis Penunaian Sumbangan Tunai Rahmah (STR) 2024 di kawasan pedalaman bagi Masyarakat Orang Asli di daerah Batang Padang di sini. – Bernama

Berita Harian X