Ahad, 3 March 2024 | 2:34pm
Lawatan rasmi pertama Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Australia atas jemputan Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese dari 4 hingga 7 Mac. - Foto hiasan
Lawatan rasmi pertama Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Australia atas jemputan Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese dari 4 hingga 7 Mac. - Foto hiasan

Anwar ke Australia perkukuh hubungan dua negara

MELBOURNE: Lawatan rasmi pertama Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Australia atas jemputan Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese mulai esok hingga 7 Mac ini dijangka memperkukuhkan lagi hubungan antara dua negara, menerusi pelbagai platform dua hala (bilateral) dan pelbagai hala (multilateral).

Dalam rangka lawatan rasmi empat hari itu, Perdana Menteri akan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Pemimpin Tahunan (ALM) Kedua Malaysia-Australia pada 4 Mac dan Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Australia dari 5 hingga 6 Mac di Melbourne.

Anwar yang juga Menteri Kewangan akan mengakhiri lawatannya ke Australia di Canberra, untuk menyampaikan syarahan umum di Australian National University (ANU) dan bertemu Gabenor Jeneral Australia, David Hurley.

Bercakap kepada media Malaysia di sini, hari ini, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Australia, Sharrina Abdullah, berkata hubungan di antara Australia dengan Malaysia menjadi bertambah kukuh, diperkasakan lagi dengan komitmen Kerjasama Strategik Komprehensif (CSP) Malaysia-Australia dan ASEAN-Australia yang dibentuk pada 2021.

Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Australia, Sharrina Abdullah ketika sidang media sempena lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Australia bermula 3 hingga 7 Mac ini. - Foto BERNAMA
Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Australia, Sharrina Abdullah ketika sidang media sempena lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Australia bermula 3 hingga 7 Mac ini. - Foto BERNAMA

Beliau berkata, lawatan ini akan menonjolkan keazaman kedua-dua negara untuk meningkatkan kerjasama dalam bidang utama strategik dan perkongsian komitmen untuk memperdalamkan hubungan diplomatik, ekonomi serta budaya antara Malaysia dan Australia.

Katanya, lawatan rasmi ini akan menyerlahkan kekayaan budaya dan kekuatan ekonomi Malaysia, menyediakan peluang untuk menonjolkan pelbagai peluang kerjasama dan usaha sama antara perniagaan, institusi akademik dan organisasi budaya Malaysia dan Australia.

"Selain itu, lawatan ini juga dijangka membawa pulangan hasil yang bermakna dalam perjanjian dua hala, memorandum persefahaman dan inisiatif bersama yang akan mengukuhkan lagi kerjasama antara Malaysia dan Australia.

"Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Australia juga menjangkakan sejumlah inisiatif baharu yang akan meningkatkan lagi kerjasama, disokong oleh diplomasi kerajaan yang mantap, hubungan rakyat yang luar biasa dan nilai bersama yang dikongsi antara ASEAN dan Australia.

"Lawatan ini bukan hanya menjadi bukti persahabatan antara dua negara, tetapi juga akan menetapkan kerjasama baharu yang diperkukuhkan dan kemakmuran yang dikongsi antara Malaysia dan Australia, dalam kedua-dua platform dua hala serta pelbagai hala," katanya.

Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Australia, Sharrina Abdullah (kanan) ketika sidang media sempena lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Australia bermula 3 hingga 7 Mac ini. - Foto BERNAMA
Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Australia, Sharrina Abdullah (kanan) ketika sidang media sempena lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Australia bermula 3 hingga 7 Mac ini. - Foto BERNAMA

Memulakan lawatannya ke Australia untuk merasmikan Kompleks Sukan Al-Taqwa di Melbourne, Anwar kemudiannya akan menghadiri ALM yang bertujuan untuk mengukuhkan kerjasama dalam bidang perdagangan, pelaburan, keselamatan dan kestabilan serantau.

Dalam mesyuarat ini, kedua-dua pemimpin dijangka membincangkan langkah selanjutnya untuk memperkukuh pelbagai kerjasama dalam rangka kerja CSP, termasuk dalam perdagangan dan pelaburan, pendidikan, ekonomi digital serta keselamatan siber.

Kedua-dua Perdana Menteri juga akan mengadakan sidang akhbar dan menyaksikan empat memorandum persefahaman (MoU) iaitu dalam bidang pengajian tinggi dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET); belia dan sukan; kerjasama keselamatan siber; dan sains dan teknologi.

Pada hari kedua, Anwar akan mengetuai Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Australia yang diadakan sempena ulang tahun ke-50 sejak Australia menjadi Rakan Dialog pertama ASEAN pada 1974.

Semasa sidang kemuncak khas ini, ASEAN dan Australia akan melihat semula kerjasama kedua-dua pihak dalam pelbagai bidang, antaranya peralihan tenaga, pembangunan modal insan, integrasi ekonomi dan sambungan maritim.

Pemimpin ASEAN juga akan bertukar pandangan mengenai pelbagai isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama, antara lain berhubung isu Palestin.

Sidang Kemuncak Khas itu dijadual akan memperaku Kenyataan Visi Pemimpin ASEAN-Australia dan Deklarasi Melbourne sebagai dokumen panduan untuk terus memajukan hala tuju strategik kerjasama ASEAN-Australia.

Semasa di Australia juga, Perdana Menteri akan mengadakan beberapa lagi program antaranya mesyuarat meja bulat dan pertemuan dengan pemimpin industri; mesyuarat dua hala di luar Sidang Kemuncak Khas bersama Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisin dan Perdana Menteri New Zealand, Christopher Luxon.

Ini diikuti sesi temubual bersama Sydney Morning Herald dan ABC News, menyampaikan ucaptama pada Invest ASEAN-Melbourne 2024 dan bertemu diaspora Malaysia, di sini.

Berita Harian X