Ahad, 3 March 2024 | 1:51pm
Ahli Parlimen Jeli, Zahari Kechik.
Ahli Parlimen Jeli, Zahari Kechik.

Pindaan perlembagaan BERSATU: 'Biar undang-undang yang tentukan' - MP Jeli

KOTA BHARU: Ahli Parlimen Jeli, Zahari Kechik menyerahkan kepada proses perundangan untuk menentukan kedudukannya selepas keputusan dibuat melalui pindaan perlembagaan BERSATU semalam.

Bagaimanapun, katanya, beliau tetap dengan pendiriannya untuk terus menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta dasar kerajaan masa kini demi kepentingan rakyat.

Katanya, keputusan berhubung pindaan Perkara 10 Perlembagaan parti itu tidak sesekali menjejaskan fokusnya untuk terus berkhidmat kepada rakyat di Parlimen Jeli.

"Saya tidak hirau apa yang berlaku ketika ini tetapi yang penting saya mahu fokus kepada rakyat supaya sepanjang saya menjadi wakil rakyat ini, mereka akan mendapat perkhidmatan yang terbaik daripada saya.

"Memandangkan pindaan perlembagaan itu sudah diluluskan dan prosedurnya akan diangkat kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS), jadi saya tidak mahu komen kerana ia terpulang kepada parti.

"Cuma buat masa ini, saya serahkan segala-galanya kepada proses perundangan untuk menentukan kedudukan saya," katanya ketika dihubungi.

Terdahulu media melaporkan, BERSATU akan menghantar surat kepada enam Ahli Parlimennya yang menyokong Perdana Menteri untuk mengesahkan sama ada mereka kekal dengan keputusan untuk meneruskan sokongan itu.

Langkah itu susulan pindaan terhadap Perkara 10 perlembagaan parti itu, yang akan melucutkan serta merta keahlian wakil rakyatnya jika menyatakan sokongan kepada mana-mana pihak bertentangan dengan arahan atau pendirian parti.

Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yasssin, berkata jika enam Ahli Parlimen berkenaan kekal menyokong Perdana Menteri, selaras dengan Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan, Akta Anti Lompat Parti akan berkuat kuasa, yang mana kerusi Parlimen berkenaan akan dikosongkan.

Berita Harian X