Ahad, 3 March 2024 | 10:47am
Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman. - BERNAMA
Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman. - BERNAMA

'Soal umum kekosongan kerusi kuasa Speaker, bukan Presiden BERSATU' - MP Labuan

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Labuan, Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman menegaskan beliau hanya akan mengosongkan kerusi disandangnya itu sekiranya diarahkan oleh Speaker Dewan Rakyat atau melalui perintah mahkamah.

Kenyataan itu senada dengan apa yang disuarakan Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal malam tadi susulan pindaan Perkara 10 Perlembagaan BERSATU semalam.

Mengulas lanjut, Suhaili berkata keputusan pindaan semalam hanya membabitkan perlembagaan BERSATU dan bukannya Perlembagaan negara.

"Perlembagaan parti tidak boleh melangkaui Perlembagaan negara... jadi keputusan muktamad dalam soal mengumumkan kekosongan kerusi masih di bawah kuasa Speaker, bukan presiden parti," katanya.

Semalam Syed Abu Hussin memaklumkan enam Ahli Parlimen BERSATU yang menyatakan sokongan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertegas untuk tidak mengosongkan mana-mana kerusi sehingga mahkamah memutuskan untuk berbuat demikian.

Beliau berkata, tindakan BERSATU meluluskan pindaan untuk melucutkan serta-merta keahlian wakil rakyatnya yang menyatakan sokongan kepada mana-mana pihak bertentangan dengan arahan atau pendirian parti adalah satu perkara yang sia-sia.

Syed Abu Hussin turut mempersoal mengapa parti mahu membuat undang-undang berkenaan sedangkan Ahli Parlimen yang menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri itu dibuat demi masa depan kawasan dan pengundi mereka.

Semalam BERSATU meluluskan Perkara 10 perlembagaan parti itu selepas mendapat sokongan 1,956 perwakilan BERSATU yang hadir pada Perhimpunan Agung Khas di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Selayang.

Pindaan perlembagaan itu dibuat susulan tindakan enam Ahli Parlimen BERSATU yang menyatakan sokongan kepada Anwar sebelum ini.

Selain Syed Abu Hussin dan Suhaili, empat lagi Ahli Parlimen lain ialah Zahari Kechik (Jeli); Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang); Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang).

Dalam pada itu, Suhaili mengakui BERSATU berhak untuk meminda perlembagaan parti, namun pindaan itu masih tertakluk kepada kelulusan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).

"Jika (pindaan) diluluskan sekalipun, hanya Speaker Dewan Rakyat boleh memutuskan sama ada kerusi Parlimen kosong dan kami masih boleh membawa kes ini ke mahkamah.

"Proses ini (mahkamah) memakan masa yang panjang dan mungkin hingga ke Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang," katanya.

Berita Harian X