Ahad, 3 March 2024 | 10:44am
Nancy bersama sebahagian pengerusi surau dan masjid dalam Parlimen Santubong yang menerima sumbangan persediaan Ramadan. - Foto MOHD ROJI KAWI
Nancy bersama sebahagian pengerusi surau dan masjid dalam Parlimen Santubong yang menerima sumbangan persediaan Ramadan. - Foto MOHD ROJI KAWI

Kecekapan JKM urus bantuan banjir kurangkan tekanan mangsa - Nancy

KUCHING: Kesiapsiagaan secara menyeluruh agensi kerajaan khususnya Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mendepani bencana banjir luar jangka seperti yang berlaku di Sarawak semalam, berjaya mengurangkan tekanan kepada mangsa.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, ramai yang tidak menjangka banjir kilat melanda ketika kebanyakan kawasan termasuk di utara Sarawak sedang menghadapi cuaca panas melampau.

Beliau berkata, menerusi persediaan terancang dan berterusan, tiada isu berbangkit berkenaan kelewatan bantuan atau penduduk tidak menerima bantuan akibat bencana itu.

"JKM bersedia sepanjang masa dalam apa juga keadaan bagi menguruskan bencana yang melanda dan hasilnya dapat kita lihat dalam kejadian di Sarawak semalam.

"Tiada aduan diterima kerana kecekapan pengurusan banjir oleh semua agensi kerajaan yang terbabit," katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Ramadan Parlimen Santubong di Masjid Darul Hijrah, Bandar Baru Samariang, malam tadi.

Sejumlah RM169,000 diperuntukan kepada 22 masjid dan surau dalam Parlimen Santubong untuk menjalankan aktiviti sepanjang bulan Ramadan.

Mengulas lanjut, Nancy berkata, jika ada mangsa banjir yang tidak menerima bantuan sewajarnya, mereka boleh menghubungi Talian Kasih 15999 untuk membuat aduan.

"Tetapi dalam kejadian semalam, semua pegawai JKM berada di lokasi banjir dan mangsa boleh terus berjumpa mereka.

"Selain bantuan makanan, tempat tinggal sementara serta perubatan, kita juga menyediakan kaunselor bagi membantu mangsa yang menghadapi tekanan kerana mengalami kerosakan harta benda serta memikirkan kesulitan membersihkan rumah selepas dilanda banjir," katanya.

Banjir kilat yang berlaku semalam adalah yang ketiga berlaku tahun ini selepas yang pertama pada 28 Januari ;alu dan yang kedua pada 16 Februari lalu.

Bencana itu disifatkan yang terburuk apabila paras air naik sehingga dua meter akibat hujan lebat berterusan bermula jam 1 pagi.

Sehingga pagi ini, seramai 1,497 daripada 392 keluarga mangsa banjir ditempatkan di 14 pusat pemindahan sementara (PPS) di Kuching, Bau, Lundu, Balai Ringin dan Siburan.

Berita Harian X