Ahad, 3 March 2024 | 10:43am
Attar Azim (kanan) selamat dalam tragedi yang turut mengorbankan ibu bapa dan dua adiknya di Kilometer 76.5 Jalan Kota Bharu-Gua Musang dekat Kampung Pahi, di Kuala Krai, semalam. - Foto ihsan keluarga
Attar Azim (kanan) selamat dalam tragedi yang turut mengorbankan ibu bapa dan dua adiknya di Kilometer 76.5 Jalan Kota Bharu-Gua Musang dekat Kampung Pahi, di Kuala Krai, semalam. - Foto ihsan keluarga

Murid Tahun Tiga jadi yatim piatu akibat nahas, belum ketahui nasib menimpa keluarga

KUALA KRAI: Murid Tahun 3 yang menjadi yatim piatu dalam sekelip mata susulan kemalangan yang mengorbankan ibu bapa dan dua adiknya, belum mengetahui sepenuhnya nasib menimpa individu kesayangannya itu.

Mangsa, Attar Azim Syukran Jamil, 9, yang terselamat dalam tragedi itu sehingga kini masih dalam rawatan di Hospital Sultan Ismail Sultan Ismail Petra, Kuala Krai.

"Sebaik siap urusan bedah siasat, saya akan memberitahu Attar Azim situasi sebenar yang berlaku. Saya harap dia kuat dan tabah menerimanya," kata bapa saudaranya, Hisham Ab Hamid, 47.

Hisham berkata, dia akan meminta kebenaran pihak pengurusan hospital bagi membawa turun Attar Azim menggunakan kerusi roda untuk menatap wajah arwah ibu, ayah, serta dua adiknya buat kali terakhir.

"Attar Azim masih perlu dirawat di hospital dan dia ditemani nenek serta datuk sebelah arwah ibunya sejak dimasukkan ke dalam pada petang semalam.

"Saya berharap agar Attar Azim diberi kekuatan untuk menerima apa yang berlaku kerana dalam sekelip mata menjadi yatim piatu, namun kami semua akan menjaga serta menyayanginya," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Bercerita lanjut, Hisham berkata, arwah adiknya, Syukran Jamil Ab Hamid, 35, bersama isterinya, Noor Aishah Razali, 35, serta tiga anak mereka dalam perjalanan pulang ke Perak selepas bercuti ke rumah keluarga mentuanya.

"Sepatutnya pada hari ini, kami sekeluarga berkonvoi ke Meru, Klang untuk menghadiri majlis kenduri saudara," katanya.

Kemalangan membabitkan dua kereta di Jalan Gua Musang-Kuala Krai dekat Kampung Pahi, Kuala Krai, semalam. - Foto ihsan bomba
Kemalangan membabitkan dua kereta di Jalan Gua Musang-Kuala Krai dekat Kampung Pahi, Kuala Krai, semalam. - Foto ihsan bomba

Katanya, arwah adiknya seorang yang periang dan tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap sehinggalah dimaklumkan mereka sekeluarga terbabit dalam kemalangan.

"Sebaik mengetahui kejadian yang berlaku, kami sekeluarga bergegas ke Hospital Sultan Ismail Sultan Ismail Petra, Kuala Krai.

"Kami akan membawa jenazah arwah adik, isteri serta dua anaknya untuk dikebumikan di Felda Trolak, Perak," katanya.

Media semalam melaporkan, sepasang suami isteri dan dua anak mereka maut dalam kemalangan membabitkan dua kereta di Kilometer 76.5 Jalan Kota Bharu-Gua Musang dekat Kampung Pahi, semalam.

Dalam kejadian pada jam 1.40 tengah hari itu, pasangan suami isteri dan anak mereka yang maut di lokasi kemalangan ialah Syukran Jamil Ab Hamid, 35, Noor Aishah Razali, 35, dan Lufya Adeena Syukran Jamil, setahun.

Seorang lagi anak mereka, Ahya Rafiqi Syukran Jamil, 6, meninggal dunia pada jam 3.15 petang semalam ketika mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Ismail Petra, di sini.

Bagaimanapun seorang lagi anak pasangan berkenaan, Attar Azim Syukran Jamil, 9, terselamat dan sedang mendapatkan rawatan di hospital sama.

Berita Harian X