Ahad, 3 March 2024 | 10:23am
Penduduk Taman Malihah di Kuching mengharungi banjir untuk berpindah ke PPS. - Foto BERNAMA
Penduduk Taman Malihah di Kuching mengharungi banjir untuk berpindah ke PPS. - Foto BERNAMA

1,497 mangsa banjir di Sarawak ditempatkan di 12 PPS

KUCHING: Jumlah mangsa banjir di Sarawak mencatatkan peningkatan kepada 1,497 orang daripada 392 keluarga, berbanding 1,193 mangsa daripada 367 keluarga setakat jam 8 pagi tadi.

Berdasarkan laporan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBN), jumlah pusat pemindahan sementara (PPS) turut bertambah kepada 12 berbanding lapan, semalam.

"Tiga PPS yang menempatkan jumlah mangsa tertinggi ialah di Kuching iaitu Dewan R-Piang Kampung Sinar Budi Baru dengan 297 mangsa, diikuti SJK (C) Chung Hua Sungai Tengah (286) dan Dewan Masyarakat Stapok (238)," menurut laporan itu.

Ketika ini kesemua PPS yang menempatkan mangsa banjir meliputi beberapa kawasan di selatan Sarawak iaitu Kuching, Lundu, Bau, Serian dan Siburan.

Menerusi laman sesawang Jabatan Meteorologi Malaysia, cuaca di negeri ini diramalkan ribut petir di satu atau dua tempat di kawasan pedalaman pada petang, manakala hujan di satu atau dua tempat di kawasan pedalaman pada sebelah malam.

– BERNAMA

Berita Harian X