Sabtu, 2 March 2024 | 9:31pm

Tok Siak sempat bisik dua kalimah syahadah ke telinga pemandu Myvi

KUALA KRAI: Pemandu Perodua Myvi yang terbabit kemalangan sehingga turut mengorbankan isteri dan dua anaknya di Jalan Gua Musang-Kuala Krai dekat Kampung Pahi, di sini, hari ini, sempat diajar mengucap dua kalimah syahadah oleh seorang siak masjid sebelum menghembuskan nafas terakhir.

Tok Siak Masjid Pahi, Ismail Mat Yaacob, 65, berkata kejadian berlaku ketika beliau baru selesai melaungkan azan zuhur dan menunaikan solat sunat, sebelum dikejutkan dengan bunyi dentuman yang kuat di luar pekarangan masjid itu.

"Saya bergegas keluar untuk melihat apa yang berlaku, dan terkejut apabila mendapati ada dua kenderaan remuk akibat kemalangan.

Tok Siak Masjid Pahi, Ismail Mat Yaacob. - NSTP/NIK ABDULLAH NIK OMAR
Tok Siak Masjid Pahi, Ismail Mat Yaacob. - NSTP/NIK ABDULLAH NIK OMAR

"Apabila saya menghampiri Perodua Myvi yang terbabit kemalangan itu, hati sayu melihat seorang wanita yang sedang meriba anaknya, sudah tidak bergerak dan mungkin telah meninggal dunia.

"Bagaimanapun, pemandu kereta itu masih bernyawa dan saya sempat membisikkan dua kalimah syahadah ke telinganya. Dia kemudian perlahan-lahan menghembuskan nafas dan memandang ke arah wajah saya, sebelum meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya.

Sementara itu penduduk kampung, Mustaza Che Amat, 56, berkata insiden terbabit berlaku tidak jauh dari rumahnya selepas beliau menunaikan solat zuhur.

"Tiba-tiba terdengar bunyi dentuman sangat kuat seperti bunyi kenderaan bertembung. Saya segera berlari keluar rumah dan melihat ada dua kenderaan terbabit kemalangan, dengan terdapat mangsa yang tersepit.

"Saya terus membuat panggilan kecemasan. Kebetulan saya juga adalah pemandu ambulans di Klinik Kesihatan Pahi, justeru saya diarahkan untuk membantu berikutan pemandu ambulans bertugas ketika itu tidak mencukupi.

"Saya kemudian pergi ke klinik untuk mendapatkan ambulans dan membawa mangsa kemalangan ke hospital," katanya.

Penduduk kampung yang juga pemandu ambulans, Mustaza Che Amat. - NSTP/NIK ABDULLAH NIK OMAR
Penduduk kampung yang juga pemandu ambulans, Mustaza Che Amat. - NSTP/NIK ABDULLAH NIK OMAR

Kemalangan kira-kira jam 1.40 tengah hari tadi yang membabitkan Perodua Myvi itu dengan sebuah Nissan March, meragut nyawa empat beranak termasuk dua kanak-kanak.

Dalam kejadian itu, sepasang suami isteri dan bayi perempuan mereka yang berusia setahun disahkan maut di lokasi kejadian, manakala anak lelaki berumur enam tahun meninggal dunia di hospital ketika menerima rawatan.

Seorang lagi anak lelaki pasangan itu yang berusia sembilan tahun, dilaporkan cedera dan sedang menerima rawatan lanjut di hospital.

Dua mangsa lain membabitkan masing-masing seorang lelaki serta wanita yang menaiki Nissan March dilaporkan turut mengalami kecederaan.

Keadaan dua kereta yang terbabit kemalangan maut di Jalan Gua Musang-Kuala Krai dekat Kampung Pahi, Kuala Krai, hari ini. - NSTP/NIK ABDULLAH NIK OMAR
Keadaan dua kereta yang terbabit kemalangan maut di Jalan Gua Musang-Kuala Krai dekat Kampung Pahi, Kuala Krai, hari ini. - NSTP/NIK ABDULLAH NIK OMAR
Berita Harian X