Sabtu, 2 March 2024 | 6:11pm
Anwar berucap pada majlis penutupan Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 di PICC, hari ini. - NSTP/MOHD FADLI HAMZAH
Anwar berucap pada majlis penutupan Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 di PICC, hari ini. - NSTP/MOHD FADLI HAMZAH

Kerajaan setuju tubuh Wakaf MARA MADANI, sedia geran peluncuran RM100 juta

PUTRAJAYA: Kerajaan bersetuju menubuhkan Wakaf Majlis Amanah Rakyat (MARA) MADANI dalam usaha memastikan keterjaminan pendidikan, kebajikan, kesihatan dan keusahawanan bagi golongan Bumiputera, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bagi tujuan itu, Perdana Menteri berkata, kerajaan menyediakan geran peluncuran sebanyak RM100 juta dengan sasaran dana terkumpul minimum RM1 bilion dalam tempoh dua tahun.

"Soal wakaf banyak disentuh dan disinggung oleh banyak kumpulan. Sukacita saya memaklumkan bahawa anak-anak kita daripada Persatuan Alumni MARA dan pimpinan MARA sendiri menggesa supaya ada rencana wakaf.

"Maka dengan ini, saya mengumumkan penubuhan Wakaf MARA MADANI dengan geran peluncuran RM100 juta dan dengan maksud dalam tempoh dua tahun terkumpul minimum RM1 bilion," katanya ketika berucap pada majlis penutupan Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, hari ini.

Seterusnya, Anwar memaklumkan Wakaf MARA MADANI akan dinaungi sendiri oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, selepas baginda terkesan dengan usul berkenaan.

"Sebagaimana potongan cukai bagi wakaf berasaskan saham seperti wakaf ASNB dan Wakaf An-Nur (di Johor), kita bersetuju melanjutkan potongan cukai bagi maksud terbabit.

"Sebelum ini melalui Belanjawan MADANI 2024, bagi memanfaatkan tanah-tanah wakaf terbiar, sebanyak RM500 juta dana pembiayaan disediakan sebagai galakan untuk membangunkan tanah wakaf supaya dapat menjana pendapatan mampan dan menyediakan rumah mampu milik," katanya.

Sementara itu bagi mendukung pembangunan vendor tempatan pula, Anwar berkata, kerajaan akan menambah baik insentif cukai serta menyediakan tabung geran padanan sebanyak RM100 juta untuk menggalakkan lebih banyak syarikat swasta melaksanakan program pembangunan vendor.

Ia termasuk penyediaan program latihan dan peningkatan kemahiran dalam bidang baharu, khususnya pendigitalan, peralihan tenaga serta teknologi.

"Sudah tiba masanya sektor swasta, termasuk syarikat bukan Bumiputera dan syarikat multinasional, menyokong pelaksanaan program pembangunan vendor kerana akhirnya ini akan memberi manfaat kepada negara.

"Usaha ini dijangka dapat memanfaatkan hingga 10,000 PMKS (perusahaan mikro, kecil dan sederhana) tempatan, terutama usahawan Bumiputera, selain ia turut dibuka untuk membimbing misalnya PMKS kaum India," katanya.

Seterusnya bagi memartabatkan dan menyokong hasil seni pengusaha tempatan, Perdana Menteri berkata, semua jabatan serta agensi kerajaan dan juga syarikat berkaitan kerajaan (GLC) hanya dibenarkan untuk membeli cenderahati produk seni yang dihasilkan oleh pengusaha Bumiputera.

"Program ini bertujuan mengetengah dan meningkatkan akses pasaran kepada pengusaha tempatan supaya dapat menjual hasil produk mereka yang merangkumi kraf tangan, seni ukiran, batik dan makanan.

"Lebih-lebih lagi menjelang Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025, semua pihak harus membantu dan merancakkan lagi penghasilan produk kraf tangan tempatan supaya dapat dipamerkan keunikan serta ketulenan hasil kraf dari setiap negeri," katanya.

Berita Harian X