Sabtu, 2 March 2024 | 5:55pm

Kerusi kosong jika 6 MP BERSATU kekal sokong Anwar

KUALA LUMPUR: Enam kerusi Parlimen milik BERSATU perlu dikosongkan sekiranya wakil rakyat masing-masing kekal dengan pendirian untuk menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ia susulan pindaan ke atas Perkara 10 Perlembagaan BERSATU yang diluluskan dalam Mesyuarat Agung Khas parti itu hari ini, yang akan melucutkan serta-merta keahlian wakil rakyatnya jika menyatakan sokongan kepada mana-mana pihak yang bertentangan dengan arahan atau pendirian parti.

Jika ia kosong, maka pilihan raya kecil (PRK) perlu diadakan di semua enam kerusi terbabit.

Sehubungan itu, Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin akan menghantar surat kepada enam wakil rakyat terbabit untuk mendapatkan pengesahan sama ada mereka masih kekal dengan keputusan menyokong Anwar.

"Jika mereka kekal dengan pendirian menyokong Perdana Menteri, maka selaras Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan, Akta Anti Lompat Parti akan berkuat kuasa.

"Dengan itu, kerusi Parlimen yang disandang enam wakil rakyat terbabit akan dikosongkan," katanya ketika sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Agung Khas itu, di sini.

Terdahulu, usul pindaan Perkara 10 Perlembagaan BERSATU itu dikemukakan Timbalan Presiden, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, sebelum ia diluluskan selepas mendapat sokongan 1,956 perwakilan yang hadir.

Pindaan itu dilakukan untuk menghalang tindakan khianat dalam kalangan wakil rakyat parti itu selepas enam Ahli Parlimen BERSATU menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri.

Mereka ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Ditanya mengenai isu retrospektif atau kesan terkebelakang dalam keputusan pindaan semalam, Muhyiddin berkata ia tidak menjadi isu kerana enam Ahli Parlimen itu menyatakan masih lagi ahli BERSATU dan mereka juga tidak disingkirkan parti sehingga sekarang.

"Bagaimanapun, selepas pindaan ini diluluskan, Setiausaha Agung, Datuk Seri Hamzah Zainuddin akan hantar surat untuk tanya balik (mengenai pendirian untuk menyokong Anwar).

"Jika dia kata ya (kekal menyokong Perdana Menteri), maka terkesanlah sebagaimana yang diperuntukkan perlembagaan dan kerusi itu mesti dikosongkan," katanya.

Ditanya mengenai kesediaan wakil rakyat terbabit mengosongkan kerusi secara sukarela, Muhyiddin berkata itu hak mereka.

"Soal dia nak kosongkan secara sukarela, itu soal dia tapi ikut peraturan yang sudah kita luluskan, keputusan itu selari dengan Akta Anti Lompat Parti," katanya.

Sebelum ini tiga daripada enam Ahli Parlimen BERSATU iaitu Syed Abu Hussin, Mohd Azizi dan Suhaili dilapor menyatakan kesediaan untuk mengosongkan kerusi masing-masing sekiranya perlu susulan pindaan perlembagaan BERSATU.

Berita Harian X