Sabtu, 2 March 2024 | 4:50pm
Graduan TVET akan menerima upah lebi tinggi daripada gaji minimum. - Foto BH
Graduan TVET akan menerima upah lebi tinggi daripada gaji minimum. - Foto BH

Lahir 100,000 graduan TVET - Perdana Menteri

PUTRAJAYA: Seramai 100,000 pelatih Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Bumiputera akan dilahirkan dengan gaji RM3,000, lebih tinggi dari gaji minimum.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLC) serta syarikat swasta, termasuk yang dimiliki kaum Cina dan India akan turut sama terlibat.

"Dalam jangka pendek, kita mahu sumbangan dan penyertaan syarikat ini termasuk syarikat di bawah Gabungan Dewan Perniagaan Cina dan India, turut melatih 100,000 pelatih TVET yang majoriti Bumiputera bersama Cina dan India.

"Dengan sasaran gaji lebih tinggi dari yang diperoleh sekarang, iaitu sebanyak RM3,000. Sekarang yang terlibat secara aktif adalah PETRONAS, Sime Darby, MRCB, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Telekom Malaysia.

"Kita anggap ini permulaan kecil yang harus diperluaskan. Anak-anak dari keluarga FELDA harus diberi peluang dan keadilan dan jangan dibiarkan tersisih dan terpinggir," katanya berucap pada penutupan Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, penyertaan GLC dan syarikat swasta lanjutan dari usaha yang dilaksanakan kerajaan dalam mempertingkat keupayaan dan kualiti TVET negara melibatkan syarikat berkaitan kerajaan.

Beliau berkata, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sudah menjayakan pelbagai bentuk kerjasama dengan lebih 200 institusi TVET dan penggiat industri sebelum ini.

"Kini, saya tekankan penyertaan swasta, sementara kita tumpukan pelaksanaan ini bagi syarikat kerajaan dan Bumiputera. Dengan kehadiran wakil gabungan dewan Cina dan India serta langkah yang kita sudah ambil dalam PMKS (perusahaan mikro kecil sederhana), untuk sama menjana pertumbuhan dan membantu syarikat Bumiputera serta Cina dan India," katanya.

Berita Harian X