Sabtu, 2 March 2024 | 3:42pm
Kemalangan membabitkan dua kereta di Jalan Gua Musang-Kuala Krai dekat Kampung Pahi, tengah hari tadi. - Foto ihsan bomba
Kemalangan membabitkan dua kereta di Jalan Gua Musang-Kuala Krai dekat Kampung Pahi, tengah hari tadi. - Foto ihsan bomba

4 beranak maut nahas 2 kereta

KUALA KRAI: Empat beranak maut, termasuk dua kanak-kanak, dalam nahas membabitkan dua kereta di Jalan Gua Musang-Kuala Krai dekat Kampung Pahi, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.40 tengah hari itu, pasangan suami isteri terbabit dan anak perempuan berusia dua tahun disahkan terkorban di lokasi kejadian, manakala seorang lagi anak lelaki berumur enam tahun meninggal dunia di hospital.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Krai, Penolong Penguasa Bomba Nik Ahmad Afsham Nik Pa, berkata kemalangan membabitkan kereta jenis Nissan March dan Perodua Myvi itu turut menyebabkan tiga mangsa cedera.

Beliau berkata, mangsa terkorban adalah mereka yang menaiki Perodua Myvi, manakala seorang lagi kanak-kanak mengalami kecederaan.

Seterusnya, dua mangsa lain membabitkan masing-masing seorang lelaki serta wanita yang menaiki Nissan March pula dilaporkan mengalami kecederaan dan telah dibawa keluar dari kereta oleh orang awam sebelum pihak bomba tiba di lokasi kejadian.

"Mayat mangsa terbabit kemudian dibawa ke Unit Forensik, Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai, manakala mereka yang cedera juga dibawa ke hospital sama untuk rawatan lanjut," katanya.

Beliau berkata, terdahulu lapan anggota dan pegawai dari BBP Kuala Krai bergegas ke lokasi kejadian sebaik saja menerima panggilan kecemasan berhubung nahas berkenaan.

Berita Harian X