Sabtu, 2 March 2024 | 2:36pm
Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim. - FAIL NSTP
Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim. - FAIL NSTP

'Tiada pimpinan BERSATU hubungi saya' - MP Gua Musang

KOTA BHARU: Ahli Parlimen Gua Musang daripada BERSATU, Mohd Azizi Abu Naim, mengesahkan tiada menerima panggilan daripada pimpinan parti itu susulan kenyataannya, Khamis lalu.

Beliau dilapor akan mengosongkan kerusi sekiranya parti itu meminda perlembagaannya.

"Setakat ini, saya tidak menerima sebarang panggilan daripada mereka (pimpinan). Saya enggan memberi komen lanjut kerana sudah membuat keputusan," katanya kepada NST, hari ini.

Mohd Azizi adalah antara dua Ahli Parlimen BERSATU dari Kelantan yang mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tahun lalu.

Laporan Khamis lalu menyebut, dua Ahli Parlimen BERSATU sedia mengosongkan kerusi mereka jika parti itu meminda perlembagaan melarang ahli mengisytiharkan sokongan kepada parti lain pada masa hadapan.

Dalam sidang media bersama di Parlimen, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (PN-Bukit Gantang) dan Mohd Azizi berkata, keputusan itu dibuat selepas mempertimbangkan implikasi perlembagaan jika dipinda secara retrospektif.

Mereka yang mengisytiharkan sokongan terhadap pentadbiran Perdana Menteri tahun lalu juga berkata, sokongan itu dibuat secara sukarela tanpa pengaruh mana-mana pihak atau mengandungi unsur imbuhan.

Sebelum ini, BERSATU mengumumkan rancangan mengadakan perhimpunan agung khas bulan ini bagi membincangkan pindaan perlembagaan parti, bertujuan menghalang lebih ramai ahli dan pemimpin bertukar sokongan.

Selain Syed Abu Hussin dan Mohd Azizi, empat lagi Ahli Parlimen BERSATU yang menyatakan sokongan kepada pentadbiran Perdana Menteri ialah Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Zahari Kechik (Jeli), Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan) dan Datuk Dr Zulkafperi (Tanjong Karang).

Berita Harian X