Sabtu, 2 March 2024 | 2:18pm

137,520 usahawan gagal jelas RM1.1 bilion tunggakan hutang TEKUN

PETALING JAYA: Sejumlah 137,520 peminjam Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional mempunyai tunggakan pembiayaan melebihi enam bulan dengan jumlah keseluruhan RM1.1 bilion sehingga Januari tahun ini.

Ia membabitkan peminjam dalam kalangan perusahaan makro, kecil dan sederhana (PMKS), yang menjadi sebahagian daripada keseluruhan 789,489 peminjam TEKUN Nasional.

Daripada jumlah itu, Selangor merekodkan tunggakan pembiayaan paling tinggi dengan 22,662 usahawan, diikuti dengan Sabah dan Sabah masing-masing dengan 16,945 dan 14,823 usahawan.

Sehubungan itu, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk R Ramanan berharap peminjam dalam kalangan PMKS memainkan tanggungjawab masing-masing dnegan melunaskan pembiayaan masing-masing mengikut jadual.

"Sehingga Januari lalu, kadar tunggakan pembiayaan adalah 12.66 peratus di seluruh negara, dengan Selangor (sebagai contoh) dicatatkan pada kadar 21.53 peratus.

"Kita mestilah menjadi masyarakat yang bertanggungjawab. Jika kita tidak bayar balik pinjaman diberikan, manfaat ini tidak dapat dinikmati rakyat Malaysia lain yang memerlukan.

"Pembiayaan diberikan TEKUN Nasional ini bukan sahaja membantu mengembangkan perniagaan usahawan, malah secara tidak langsung mencipta peluang pekerjaan kepada masyarakat sekitar," katanya ketika merasmikan Karnival TEKUN MADANI Negeri Selangor, di sini, hari ini.

TEKUN Nasional melakukan kutipan bayaran balik sebanyak RM7.38 bilion dan jumlah ini dipinjamkan semula sebagai pembiayaan kepada usahawan.

Jumlah keseluruhan pembiayaan dikeluarkan adalah sebanyak RM9.15 bilion berbanding peruntukan yang disediakan sebanyak RM4.69 bilion.

Ramanan berkata, TEKUN Nasional memperuntukkan RM65.3 juta 4,000 usahawan di Selangor dan mereka yang memerlukan pembiayaan untuk mengembangkan perniagaan dinasihat merebut peluang disediakan itu.

"TEKUN Nasional menyalurkan pembiayaan sehingga RM100,000 untuk tempoh pembiayaan sehingga 10 tahun pada kadar faedah dua hingga empat peratus sahaja, jauh lebih rendah daripada institusi pembiayaan kewangan lain," katanya.

Setakat Januari, sejumlah 7.35 juta pembiayaan diberikan kepada 225 usahawan TEKUN di Selangor.

Ramanan (tengah) melancarkan Karnival TEKUN MADANI Negeri Selangor hari ini. Turut serta KSU KUSKOP, Datuk Seri Suriani Ahmad (kiri) dan Pengerusi Tekun Nasional, Datuk Abdullah Abdul Hamid. - NSTP/ROHANIS SHUKRI
Ramanan (tengah) melancarkan Karnival TEKUN MADANI Negeri Selangor hari ini. Turut serta KSU KUSKOP, Datuk Seri Suriani Ahmad (kiri) dan Pengerusi Tekun Nasional, Datuk Abdullah Abdul Hamid. - NSTP/ROHANIS SHUKRI
Berita Harian X