Sabtu, 2 March 2024 | 11:22am
Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, berucap di Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 di Putrajaya. NSTP/MOHD FADLI HAMZAH
Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, berucap di Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 di Putrajaya. NSTP/MOHD FADLI HAMZAH

Malaysia perlukan dasar pengurusan sisa ladang - Ahmad Shabery

PUTRAJAYA: Kerajaan perlu memperkenalkan satu dasar yang mengkhususkan kepada pengurusan sisa yang terhasil dari sektor perladangan negara.

Pengerusi FELDA, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, berkata dasar ini bila dijayakan akan memberi kesan berganda kepada ekonomi dan pendapatan pekebun kecil serta pemain dalam industri perladangan.

"Perlu ada dasar dalam pengurusan sisa (hasil perladangan). Dasar kerajaan yang turun kepada Kementerian Perladangan dan Komoditi, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) ini, ianya akan memberikan kesan berganda kepada pekebun kecil dan sebagainya.

"Ini keperluan utama kepada saya dan pekebun kecil," katanya yang mempengerusikan Kluster FELDA dan Tanah Wilayah pada sesi pleno sempena Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 di sini, hari ini.

FELDA kata, beliau sudah dan akan melaksana pendekatan diluar daripada fikiran biasa, dimana fokus tidak sekadar lagi mahu mengeluarkan tan tandan kelapa sawit yang banyak, tapi melihat peluang baru ekonomi khususnya yang berkaitan tenaga hijau.

"Dulu pemikiran peneroka, kena keluarkan 25 tan kelapa sawit yang boleh menghasilkan perahan 20 peratus hingga 30 peratus. Tapi sekarang kita sudah bercakap pasal dunia hijau, dimana 80 peratus (sisa perladangan) boleh dikitar semula untuk menjana pulangan besar.

"Buah tandan sawit juga boleh jadi asas jana letrik, kumbahan boleh jadi minyak kapal terbang, yang harga dan nilainya tinggi sebab syarikat penerbangan juga mahu. Tahi minyak boleh dijadikan asas membangunkan bidang baru makanan ternakan, ini sebahagian usaha jaminan keselamatan," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, negara perlu bersungguh ke arah mengubah landskap ekonominya yang lebih mesra kepada tenaga hijau.

"Kalau kita hasil elektrik menerusi solar biomas, itu satu 'plus point', ini yang akan menentukan masa depan.

"Sebab itu saya puji Sarawak, yang sudah ke hadapan dimana mereka kini sudah ada tiga empangan hidro di Batang Ai, Murung, Bakut dan terbaru di Baleh," katanya.

Sarawak bakal menjadi pengeksport utama bekalan tenaga elektrik di Asia Tenggara selepas berjaya membekalkan tenaga ke Kalimantan, Indonesia sejak 2016.

Berita Harian X