Jumaat, 1 March 2024 | 5:16pm
Pengurus Projek dan Komunikasi Korporat Aman Palestin, Muhd Farhan Muhd Fadhil
Pengurus Projek dan Komunikasi Korporat Aman Palestin, Muhd Farhan Muhd Fadhil

Aman Palestin lancar tabung tampung kos mahkamah lebih RM2.2 juta

KUALA LUMPUR: Aman Palestin Berhad (Aman Palestin) melancarkan Tabung Solidariti Kes Aman Palestin bagi menampung kos urusan mahkamah lebih RM2.2 juta.

Pengurus Projek dan Komunikasi Korporat Aman Palestin, Muhd Farhan Muhd Fadhil, berkata sejak bermulanya pertuduhan terhadap Aman Palestin, bukan sekadar bantuan tidak dapat disalurkan, bahkan akaun disekat.

Berikutan itu, katanya ramai kakitangan terpaksa dicutikan, banyak cawangan terpaksa ditutup dan begitu juga urusan mahkamah yang memakan kos jutaan ringgit.

Beliau berkata Aman Palestin mengambil inisiatif meminta masyarakat membantu kos pengurusan kes di mahkamah dalam usaha membersihkan kembali nama baik dan bebas daripada pertuduhan.

"RM2.2 juta jumlah ikat jamin adalah satu angka yang amat besar dan mustahil untuk disediakan dalam keadaan akaun Aman Palestin masih dibekukan. Ini belum campur kos guaman dan sebagainya.

"Namun Aman Palestin akan tetap memberikan kerjasama yang sebaiknya kepada pihak-pihak berkuasa bagi melicinkan proses perbicaraan dan kehakiman," katanya.

BH bulan lalu melaporkan selepas hampir tiga bulan akaun Aman Palestin dibekukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kemanusiaan itu kini beroperasi pada skala lebih kecil.

Impak pembekuan akaun itu turut menyebabkan organisasi yang mula beroperasi sejak 2004 itu menutup 13 daripada 20 cawangan di seluruh negara.

Ketetapan itu dimuktamadkan pengurusan NGO berkenaan berkuat kuasa 1 Februari lalu.

Sehubungan itu, hampir 100 daripada 150 petugas Aman Palestin diminta bercuti tanpa gaji sehingga dimaklumkan kelak.

Pendakwaan kes pecah amanah, tipu dan ubah wang haram bernilai RM39.5 juta dikaitkan dengan Aman Palestin mencuri tumpuan susulan keseluruhan 164 pertuduhan dihadapi tiga tertuduh.

Difahamkan, dua jam diambil untuk membaca semua pertuduhan di hadapan Hakim Datuk Anita Harun dekat Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor.

Selain Pengerusi Aman Palestin, Abdullah Zaik Abdul Rahman, 58, dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Awang Suffian Awang Piut, 52, turut didakwa adalah pengarah sebuah syarikat pelaburan, Khairudin Mohd Ali, 49.

Ketiga-tiga tertuduh mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dikemukakan.

SPRM menerusi kenyataan pada 22 November lalu memaklumkan, 41 akaun Aman Palestin dan beberapa entiti syarikat lain yang berkaitan dibekukan, membabitkan jumlah keseluruhan RM15,868,762.

Pembekuan akaun itu dibuat susulan siasatan terhadap dakwaan syarikat NGO berkenaan menyalahgunakan wang sumbangan orang ramai sejak 17 Oktober 2022.

Berita Harian X