Jumaat, 1 March 2024 | 4:50pm
 Foto fail NSTP
Foto fail NSTP

13 kes berkaitan haba sejak Januari 2024

KUALA LUMPUR: Sebanyak 13 kes dilaporkan berkaitan haba sejak minggu pertama sehingga minggu kesembilan tahun ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu, berkata sebanyak tujuh kes dilaporkan di Perak, Kedah (lima) dan satu di Sabah.

Katanya, pecahan kes mengikut diagnosis adalah empat strok haba, sembilan kelesuan haba (sembilan) dan tiada kejang haba.

"Kesemua kes disebabkan aktiviti fizikal di luar bangunan ketika cuaca terik.

"Terdapat satu kes strok haba dipantau di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan satu kes kelesuan haba dirawat di wad biasa Hospital Sultanah Maliha, Langkawi, Kedah.

"11 kes lain telah mendapatkan rawatan dan sembuh," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Sehubungan itu Dr Muhammad mengingatkan orang ramai untuk mengambil langkah-langkah pencegahan ketika cuaca panas terutama pada Ramadan.

Katanya, orang ramai digalakkan merancang aktiviti Ramadan atau di luar rumah dan elakkan waktu puncak cuaca panas antara jam 11 pagi hingga 4 petang.

"Kekalkan pengambilan air kosong sekurang-kurangnya lapan gelas sehari terutamanya kepada yang berpuasa dari waktu berbuka sehingga bersahur bagi mengekalkan tahap hidrasi untuk mengawal-atur suhu badan.

"Kurangkan minum air manis, berkafein dan berkarbonat kerana ia tidak baik untuk hidrasi badan.

"Golongan berisiko tinggi seperti bayi, kanak-kanak dan warga emas, perlu minum air secukupnya bagi mengelakkan dehidrasi," katanya.

Selain itu katanya, awasi gejala keletihan dalam kalangan bayi, kanak-kanak dan warga emas kerana mereka mungkin mengalami dehidrasi tanpa disedari.

Katanya, elakkan memakai pakaian yang tebal, ketat dan berwarna gelap bagi membantu proses kehilangan haba dari badan.

"Hadkan aktiviti fizikal lasak semasa cuaca panas kerana ia boleh meningkatkan risiko penyakit akibat cuaca panas.

"Hadkan tempoh berada di luar bangunan bagi mengelakkan pendedahan kepada cuaca panas.

"Gunakan pelindung diri seperti payung dan topi bagi mengelakkan pendedahan secara langsung kepada cuaca panas," katanya.

Beliau berkata, untuk menyejukkan badan, gunakan kipas, penyaman udara atau kerap mandi.

"Elakkan berada dalam kenderaan tertutup ketika penyaman udara tidak dihidupkan ketika cuaca panas dan dapatkan rawatan segera di fasiliti kesihatan terdekat sekiranya mengalami gejala penyakit akibat cuaca panas," katanya.

Berita Harian X