Jumaat, 1 March 2024 | 3:53pm
Reruai di Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). - Foto NSTP/Asyraf Hamzah
Reruai di Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). - Foto NSTP/Asyraf Hamzah

KEB2024: Bumiputera perlu ceburi sektor peralihan tenaga - Fadillah

PUTRAJAYA: Bumiputera perlu mengambil peluang dan didedahkan kepada sektor baharu seperti bidang peralihan tenaga, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), berkata langkah itu juga selari dengan Tekad Transformasi Ekonomi Bumiputera.

Justeru itu katanya, PETRA dalam langkah menggubal Rang Undang-Undang Kecekapan dan Konservasi Tenaga yang bertujuan mengawal selia kecekapan dan konservasi tenaga dalam sektor industri dan komersial.

Ini katanya dijangka membuka 1,000 peluang pekerjaan baharu sebagai Pengurus Tenaga Berdaftar dan Juruaudit Tenaga Berdaftar.

Penguatkuasaan Akta itu juga katanya akan menggalakkan pendaftaran lebih banyak institusi latihan bagi melatih Pengurus Tenaga Berdaftar dan Juruaudit Tenaga Berdaftar.

"Di samping itu, dalam meneruskan usaha kerajaan untuk mencapai sasaran Pelan Peralihan Tenaga Kebangsaan, PETRA dengan kerjasama Suruhanjaya Tenaga dan pihak berkepentingan sedang membangunkan Pelan Tindakan Kecekapan Tenaga Negara 2.0 (NEEAP 2.0) bagi tempoh 2026 hingga 2035

"NEEAP 2.0 dijangka akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan, potensi perniagaan dan pelaburan akan diwujudkan untuk manfaat rakyat dan negara," katanya dalam ucapan sempena Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 (KEB2024) di sini hari ini.

Fadillah berkata, kerajaan telah meluncurkan Pelan Hala Tuju Perubahan Tenaga Negara (NETR) yang menggariskan usaha dan komitmen negara ke arah mencapai sistem tenaga yang mampan dan inklusif.

Beliau berkata, NETR membuktikan keazaman kerajaan dalam melaksanakan inisiatif peralihan tenaga daripada ekonomi berasaskan bahan api fosil tradisional kepada ekonomi hijau bernilai tinggi.

Ia juga akan memastikan transformasi ekonomi lestari ini berupaya menjana sumber pertumbuhan baharu, mewujudkan peluang perniagaan dan potensi perdagangan.

Dalam konteks pembekalan elektrik pula katanya, sektor Tenaga Boleh Baharu (TBB) memainkan peranan yang penting dalam usaha peralihan tenaga selain sebagai sumber tarikan pelaburan serta pertumbuhan ekonomi baharu negara.

"Selaras dengan aspirasi negara untuk mencapai sasaran pembebasan gas rumah kaca (GHG) sifar bersih menjelang 2050, kerajaan telah menetapkan komitmen untuk meningkatkan campuran kapasiti Tenaga Boleh Baharu dalam pembekalan elektrik negara kepada 70 peratus menjelang 2050 berbanding 25 peratus ketika ini.

"Namun usaha ini memerlukan gandingan kerjasama dan pembabitan bersama kerajaan, swasta dan rakyat bagi memastikan kejayaan kesemua inisiatif dan program TBB mencapai sasaran," katanya.

Mengulas lanjut, Fadillah berkata, usaha untuk merealisasikan sasaran peralihan tenaga akan dilakukan secara menyeluruh berdasarkan pertimbangan yang teliti ke atas faktor keupayaan sistem grid, permintaan bekalan elektrik hijau, nilai limpahan ekonomi serta kesanggupan membayar oleh pengguna.

Beliau berkata, secara asasnya, aspirasi peralihan tenaga itu akan dikecapi melalui pelaksanaan beberapa inisiatif seperti pembangunan loji jana kuasa solar bagi meningkatkan pembekalan tenaga elektrik hijau pada kos yang berpatutan.

Selain itu katanya, inisiatif lain adalah memanfaatkan ruang bumbung bangunan atau permukaan air untuk pemasangan sistem solar bagi mengelakkan tebus guna tanah serta menggalakkan kepelbagaian sumber penjanaan tenaga iaitu daripada sumber bukan solar seperti biogas, biojisim dan hidro untuk menjamin sekuriti pembekalan elektrik.

"Kerajaan turut akan membangunkan program khusus untuk membolehkan capaian bekalan elektrik hijau oleh pengguna korporat bagi menarik serta mengekalkan pelaburan bersih dan bernilai tinggi oleh syarikat-syarikat Renewable Energy 100 (RE100).

"Kita juga perlu meneroka pembangunan sistem grid serantau di bawah inisiatif ASEAN Power Grid bagi membolehkan integrasi sumber penjanaan TBB yang lebih tinggi melalui jaringan sistem grid di ASEAN," katanya.

Berita Harian X