Khamis, 29 Februari 2024 | 6:20pm
Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad, Datuk Dr Ameer Ali Mydin ketika Sesi Libat Urus Pengukuhan Industri Halal KEB 2024, di PICC, Putrajaya, hari ini. - Foto BERNAMA
Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad, Datuk Dr Ameer Ali Mydin ketika Sesi Libat Urus Pengukuhan Industri Halal KEB 2024, di PICC, Putrajaya, hari ini. - Foto BERNAMA

KEB2024: Penguasaan usahawan Bumiputera dalam industri halal masih rendah - Ameer

PUTRAJAYA: Penguasaan usahawan Bumiputera dalam industri halal masih lagi rendah dan perlu dipertingkatkan bagi membolehkannya bersaing dan memasarkan produk ke pasaran luar.

Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Bhd, Datuk Dr Ameer Ali Mydin berkata berdasarkan data, hanya 3,562 syarikat Bumiputera mendapatkan penarafan halal berbanding 5,600 bukan Bumiputera pada 2023.

Beliau yang juga Ketua Kluster Industri Halal Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 (KEB2024) berkata daripada jumlah itu, 6,857 adalah perusahaan mikro manakala 1,155 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan 1,150 (syarikat multinasional).

Menurutnya, walaupun syarikat multinasional merekodkan jumlah pembabitan industri halal yang rendah tetapi ia mendominasi pasaran eksport halal sebanyak 90 peratus.

Katanya, dari segi status syarikat yang terbabit dalam eksport halal, hanya enam peratus syarikat Bumiputera terbabit dalam pasaran eksport halal dan jumlah itu adalah sangat rendah.

"Kenapa jumlah syarikat Bumiputera terbabit dalam industri halal serta kemampuan eksport halal masih rendah walaupun halal dan Bumiputera adalah dua elemen yang saling berkaitan.

"Justeru itu beberapa resolusi perlu diperhalusi oleh kerajaan bagi membolehkan syarikat Bumiputera dapat bergerak ke arah pensijilan halal.

"Ini kerana industri halal mempunyai potensi perniagaan yang besar di peringkat global," katanya dalam pembentangan pada Sesi Libat Urus Pengukuhan Industri Halal KEB 2024, di sini hari ini.

Ameer berkata, faktor utama penyertaan lemah syarikat Bumiputera dalam industri halal adalah disebabkan majoriti premis perusahaan Bumiputera berada di 'belakang rumah' yang tidak memenuhi syarat pensijilan halal.

Menurutnya, mentaliti pemilik perusahaan perlu diubah daripada terlalu bergantung kepada hasil sara diri bagi membolehkan aktiviti perniagaan harian.

Justeru itu katanya, dicadangkan pihak berkepentingan dapat melaksanakan program transformasi perniagaan halal melalui aktiviti penilaian ketersedian dan bimbingan perniagan.

"Perlu mewujudkan sistem tier dan 'green lane' untuk Bumiputera mendapatkan pensijilan halal. Sediakan dana pembiayaan khusus melalui pendanaan awam atau wakaf untuk menambahbaik perusahaan bumiputera.

"Malah boleh sediakan premis atau kemudahan perindustrian yang menepati pensijilan halal melalui kerjasama rakan strategik serta mewujudkan pengiktirafan khas kepada perusahan yang meliputi promosi bersepadu antara agensi.

"Kerajaan juga boleh membantu memberi galakan melalui mewajibkan 70 peratus pembelian barangan program rasmi kerajaan adalah produk halal dan Bumiputera," katanya.

Ameer berkata cadangan lain yang boleh dilaksanakan adalah melaksanakan 'Program Home-grown Halal Champion' merangkumi aktiviti pembangunan vendor dan bimbingan perniagaan dengan usahasama syarikat multinasional.

Beliau berkata, langkah mengembangkan polisi 30 peratus kemasukan produk usahawan Bumiputera ke dalam semua sektor peruncitan moden seperti pasar raya besar atau pasar raya mini turut boleh dilaksanakan.

Selain itu, nilai eksport produk halal pada 2023 direkodkan berjumlah RM53.72 bilion dan sebanyak 6.1 peratus atau RM3.26 bilion adalah produk keluaran Bumiputera.

Kekurangan produk yang menembusi pasaran global, katanya disebabkan kapasiti pengeluaran yang rendah serta penyediaan logistik yang terhad di

Menurutnya, sepanjang rantaian bekalan selain kekurangan penyertan daripada perusahan Bumiputera dalam aktiviti promosi luar negara.

"Justeru itu, perlu menyediakan platform promosi antarabangsa melalui kerjasama rakan strategik, menyediakan platform promosi perdagangan peringkat nasional, menyediakan dana pembiayaan dan geran khusus untuk menggalakkan penyertaan perusahan produk dan perkhidmatan halal Bumiputera ke dalam platform atau aktiviti promosi antarabangsa," katanya.

Berita Harian X