Khamis, 29 Februari 2024 | 6:03pm
Ketua Operasi Kumpulan Bermaz Auto Bhd, Datuk Shamsuddin Amran menyampaikan pembentangan sesi libat urus bertajuk "TVET Pilihan Kerjaya Utama" pada KEB 2024 hari ini. Foto Bernama
Ketua Operasi Kumpulan Bermaz Auto Bhd, Datuk Shamsuddin Amran menyampaikan pembentangan sesi libat urus bertajuk "TVET Pilihan Kerjaya Utama" pada KEB 2024 hari ini. Foto Bernama

'Kita perlukan kementerian khusus jaga TVET'

PUTRAJAYA: Pengwujudan sebuah kementerian khusus yang mengawal selia bidang Latihan Teknikal dan Vokasional Negara (TVET) antara cadangan dikemuka untuk tindakan strategi jangka panjang kerajaan bagi meningkatkan potensi bidang TVET negara.

Ketua Operasi Kumpulan Bermaz Auto Berhad, Datuk Shamsuddin Amran, berkata penubuhan sebuah kementerian itu akan dapat menyelaras dan memantau semua institusi TVET sedia ada dengan kerjasama industri.

Beliau berkata, penubuhan dicadang untuk dilaksana antara 2030 hingga 2035 itu, antara lain bermatlamat untuk menyusun penguatkuasaan dasar dan pemerkasaan tadbir urus TVET supaya lebih mampan.

Bagi menjayakan hasrat penubuhan itu, katanya, kajian semula terhadap akta sedia ada perlu dibuat untuk menyediakan akta yang lebih inklusif dan komprehensif.

"Selain itu, pengwujudan akta berkaitan penguatkuasaan syarat pentauliahan perlu dibuat untuk semua bidang pekerjaan serta melantik penguatkuasa yang neutral untuk memantau program TVET.

"Membangunkan polisi dan dasar untuk menggalakkan pembabitan industri dalam ekosistem TVET juga perlu dilaksanakan," katanya yang juga pembentang bagi segmen TVET Pilihan Kerjaya Utama sempena Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) di sini hari ini.

Beliau berkata, selain penubuhan sebuah kementerian itu, sekretariat yang menjalankan tiga sesi libat urus bersama industri antara Januari dan Februari lalu bagi mengumpul pelbagai cadangan itu, berjaya merumuskan lapan strategi serta 80 tindakan untuk meningkatkan kualiti bidang TVET negara.

Katanya, lapan strategi itu dicadang bagi memenuhi empat fokus utama iaitu meningkatkan tenaga kerja profesional dan kompeten Bumiputera berasaskan TVET serta merancak pembangunan teknousahawan Bumiputera.

"Dua lagi fokus adalah meningkatkan pembabitan Bumiputera dalam kerjaya berkemahiran dan berpendapatan tinggi serta melonjakkan penghasilan kumpulan huffaz berkemahiran," katanya.

Shamsuddin berkata, strategi lain dicadangkan adalah mewujudkan akta gaji khusus TVET yang dilaksana berdasarkan kompetensi serta membangunkan dasar pengutamaan pengambilan pekerja TVET Bumiputera.

Selain itu, mewujudkan penjenamaan kerjaya baharu dalam tahfiz TVET iaitu technofaz serta menambah ekosistem pelaksanaan tahfiz TVET yang lebih menyeluruh.

"Bagi memperkasa standard kurikulum fleksibel bagi memastikan program TVET dapat dipacu oleh industri, penerokaan bidang baharu perlu termasuk mobiliti baharu, kecerdasan buatan (AI) dan robotik.

"Selain itu, penawaran bidang dan teknologi baharu seperti pemprosesan mineral, reka bentuk lombong dan kuari serta peletupan. Kepelbagaian jenis persijilan menurut standard daripada industri perlu diperkenalkan," katanya.

Berita Harian X