Khamis, 29 Februari 2024 | 5:36pm
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, disambut oleh Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, sebaik tiba bagi meninjau program Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). - NSTP/ASYRAF HAMZAH
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, disambut oleh Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, sebaik tiba bagi meninjau program Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). - NSTP/ASYRAF HAMZAH

Anwar tinjau pengisian KEB 2024

PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim meluangkan masa hampir sejam meninjau perjalanan Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.

Perdana Menteri tiba di PICC pada jam 4 petang dan disambut Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Anwar kemudian dibawa ke Dewan Plenary sebelum mengikuti hampir 15 minit sesi Diskusi MADANI 1 bertajuk 'Aspirasi Perpaduan Memperkukuhkan Agenda Bumiputera'.

Sesi berkenaan menampilkan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani; Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong serta Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk R Ramanan sebagai panel manakala Datuk Sharkawi Jirim bertindak sebagai moderator.

Perdana Menteri kemudian melawat aras bawah PICC yang menempatkan ruang pameran sebelum meluangkan masa menikmati kopi jenama tempatan.

Beliau turut meninjau reruai lain di ruang pameran berkenaan sebelum meninggalkan PICC pada jam 4.50 petang.

Anwar dijangka menyampaikan ucapan penutup kongres terbabit, Sabtu ini.

KEB 2024 yang bermula hari ini hingga 2 Mac di PICC membabitkan pembentangan hasil dapatan daripada Sesi Libat Urus (SLU) meliputi 10 kumpulan.

Kumpulan itu ialah Reformasi Pendidikan dan Modal Insan, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Pilihan Kerjaya Utama, Pengukuhan Industri Halal, Pembangunan Desa dan Pemerkasaan Masyarakat Orang Asli.

Selain itu, Penciptaan Kekayaan dan Penguasaan Korporat, Daya Saing Perusahaan Bumiputera, Penguasaan Teknologi Baharu, Felda dan Tanah Wilayah, Sosioekonomi Bumiputera Sabah serta Sosioekonomi Bumiputera Sarawak.

Berita Harian X