Khamis, 29 Februari 2024 | 5:24pm
Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman. - BERNAMA
Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman. - BERNAMA

MP Labuan pula sedia kosongkan kerusi, ikut jejak Bukit Gantang dan Gua Musang

KUALA LUMPUR: Selepas Ahli Parlimen Bukit Gantang dan Gua Musang, kini wakil rakyat Labuan, Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman pula menyatakan kesediaan untuk mengosongkan kerusi disandang sekiranya pindaan Perlembagaan BERSATU pada Sabtu ini melarangnya daripada menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Suhaili berkata beliau tidak akan berganjak dengan pendirian menyokong Anwar seperti yang diumumkannya pada Oktober tahun lalu.

Katanya, ia mengambil kira semua permasalahan rakyat Labuan yang berdepan dengan kos sara hidup tinggi, serta masalah bekalan air dan elektrik.

"Apa pun pindaan perlembagaan BERSATU pada 2 Mac ini, saya tidak akan berganjak dan beri sokongan kepada PMX (Anwar) waima terpaksa mengosongkan kerusi," katanya kepada FMT.

BERSATU diajdual mengadakan Perhimpunan Agung Khas Sabtu ini, dengan antara agenda utama adalah untuk meminda perlembagaan parti susulan tindakan enam Ahli Parlimennya yang menyatakan sokongan terhadap pentadbiran Anwar.

Terdahulu, dua Ahli Parlimen BERSATU iaitu Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang) dan Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang) melalui sidang media di Parlimen menyatakan kesediaan untuk mengosongkan kerusi dan menyerahkan semula mandat kepada rakyat.

Selain Suhaili, Syed Hussin dan Azizi, tiga lagi Ahli Parlimen BERSATU turut menyokong Anwar iaitu Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar); Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjung Karang) dan Zahari Kechik (Jeli).

Dalam pada itu, Suhaili turut dilapor membidas Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan yang mencetus kekecohan di Parlimen semalam apabila dengan mendakwa cuba disogok dalam pertemuan dengan beberapa individu tertentu untuk rundingan mengalihkan sokongan kepada Anwar.

"Tawaran RM1.7 juta didakwa ditawarkan kepada beliau bukan sogokan kerana itu memang peruntukan dan ada garis panduan… ini perkara terbuka.

"Tiada sogokan dalam sokongan kami kepada PM... kenyataan Wan Saiful itu fitnah dan berniat jahat untuk memburukkan kerajaan," katanya.

Semalam, Wan Saiful dalam perbahasan di Dewan Rakyat mendakwa ditawarkan 'habuan' termasuk RM1.7 juta untuk kawasan Parlimen diwakilinya untuk menyokong Anwar.

Berita Harian X