Khamis, 29 Februari 2024 | 1:50pm
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki. - Foto fail NSTP
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki. - Foto fail NSTP

Tiada pegawai SPRM hubungi Wan Saiful

KUALA LUMPUR: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Tan Sri Azam Baki hari ini mengesahkan tiada pegawainya yang menghubungi Datuk Wan Saiful Wan Jan selepas Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu membuat pendedahan mengenai pujukan supaya menyokong Perdana Menteri.

Azam berkata, beliau sendiri membuat pemeriksaan berhubung dakwaan itu tetapi mendapati tiada pegawainya yang bertindak sedemikian.

Beliau berkata, individu yang menghubungi Wan Saiful itu berkemungkinan ialah pihak yang mengaku pegawai SPRM.

"Saya sudah 'check' dengan pegawai saya, tiada pegawai SPRM yang menghubunginya semalam. Ia mungkin orang lain yang mengatakan dia adalah daripada SPRM," katanya ditemui selepas Majlis Sidang Kemuncak Pencegahan Rasuah Kebangsaan 2024, yang dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini.

Mengulas lanjut, Azam berkata, Wan Saiful seharusnya bertemu SPRM atau membuat laporan di balai polis berhampiran supaya siasatan dapat dijalankan dengan terperinci berdasarkan maklumat yang ada pada ahli politik itu.

Semalam Wan Saiful mendakwa, beliau mendapat mesej daripada pegawai SPRM minta beliau menghubunginya susulan pendedahan di Parlimen mengenai ajakan menyokong kepimpinan Perdana Menteri.

Terdahulu, Wan Saiful ketika sesi perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat mendakwa diugut supaya menyatakan sokongan kepada Anwar.

Tanpa menamakan mana-mana pihak, beliau turut mendakwa ditawarkan habuan sebagai balasan antaranya peruntukan wakil rakyat bernilai RM1.7 juta serta pengguguran pertuduhan kes di mahkamah.

Berita Harian X