Khamis, 29 Februari 2024 | 11:49am
Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (kanan) dan Mohd Azizi Abu Naim.
Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (kanan) dan Mohd Azizi Abu Naim.

MP Bukit Gantang, Gua Musang sedia kosongkan kerusi masing-masing

KUALA LUMPUR: Dua wakil rakyat BERSATU sedia mengosongkan kerusi masing-masing jika pindaan Perlembagaan parti itu kelak melarang mereka memberi sokongan kepada pihak ketiga.

Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal dan Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim yang sebelum ini menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ia tertakluk kuat kuasa pindaan perlembagaan BERSATU pada Sabtu ini dibuat secara retrospektif.

"Sokongan kepada Anwar dimuktamadkan selepas setahun kami berada di pihak pembangkang (tetapi) tiada apa-apa perkara yang boleh memanfaatkan rakyat di kawasan kami.

"Daripada kami tarik balik sokongan (kepada Anwar) dan kembali menyokong (pihak) asal (BERSATU) yang tak boleh buat apa-apa, kami rela rakyat yang buat keputusan (melalui pilihan raya).

"Kita bersedia menghadapi sebarang kemungkinan termasuk mengosongkan kerusi sekiranya ia kenyataan yang perlu diterima," kata mereka ketika sidang media bersama di Parlimen, hari ini.

Sebelum ini, Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainudin, dilapor berkata parti itu akan meminda perlembagaan bagi mengambil tindakan undang-undang ke atas wakil rakyatnya yang berbuat khianat.

Malah, Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin dipetik menyatakan Mesyuarat Majlis Tertinggi parti itu meluluskan draf pindaan perlembagaan berkaitan pengosongan kerusi Parlimen bagi membolehkan pilihan raya kecil diadakan jika ahli memberi sokongan kepada pihak lawan.

Syed Abu Hassan dan Mohd Azizi berkata, hasrat BERSATU meminda perlembagaan parti itu dibuat kerana parti itu bimbang masih ada wakil rakyatnya yang akan membuat keputusan menyokong Anwar.

"Parti membuat keputusan meminda perlembagaan untuk mengelak dan melarang Ahli Parlimen BERSATU menyokong pihak berbeza selain ditetapkan parti, menyebabkan kelayakan mereka gugur secara automatik.

"Bagi kami yang sudah memberi sokongan, kita akan tengok dulu pindaan berkenaan dan kalau dibawa ke mahkamah, kita akan 'challenge' (cabar) la," katanya.

Selain Syed Abu Hussin dan Mohd Azizi, empat lagi Ahli Parlimen BERSATU turut menyatakan sokongan kepada Anwar sebelum ini iaitu Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar); Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjung Karang); Zahari Kechik (Jeli) dan Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan)

Mengulas isu janji diberikan habuan untuk menyokong Perdana Menteri, dua Ahli Parlimen itu berkata mereka menyokong Anwar tanpa membabitkan sebarang unsur pujukan, rayuan atau habuan seperti didakwa.

"Janganlah cuba mewujudkan suasana tak stabil, sama ada dari segi politik, tuduhan dan sebagainya. Jangan guna Parlimen sebagai tempat untuk melangsungkan politik tanpa asas.

"Parlimen tempat kita berbincang untuk membantu membangunkan negara dalam ketidaktentuan global ketika ini.

"Kita hormati kenyataan sesiapa sahaja, cuma tuduhan dilemparkan di Parlimen adalah tak benar, fitnah semata-mata kerana sokongan kepada Anwar adalah ikhlas. Isu semalam yang dibawa (ke Parlimen) tak betul," katanya.

Semalam, sesi perbahasan titah Yang di-Pertuan Agong di Parlimen kecoh selepas Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan mendedahkan berkali-kali didekati pihak tertentu yang janji habuan sekiranya beliau menyokong Perdana Menteri, selain turut diugut dengan pertuduhan mahkamah.

Berita Harian X