Rabu, 28 Februari 2024 | 5:44pm
Wan Saiful Wah Jan.
Wan Saiful Wah Jan.

Wan Saiful dihubungi SPRM kurang sejam selepas dedah sogokan di Parlimen

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan mengesahkan sudah dihubungi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kurang sejam selepas pendedahan beliau di Dewan Rakyat mengenai tawaran habuan untuk menyokong kepemimpinan Perdana Menteri.

Menerusi muat naik di Facebook, beliau berkata pihaknya diminta menghubungi pegawai SPRM dipercayai bagi membuat laporan berhubung pendedahannya itu.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU itu berkata, beliau akan akur kepada arahan itu.

"Cuma saya nak tanya apa tindakan yang akan diambil untuk menghentikan penggunaan wang rakyat sebagai umpan kepada Ahli Parlimen BERSATU?

"Bukankah lebih baik jika wang itu digunakan untuk jaga kebajikan rakyat?" katanya.

Terdahulu, Wan Saiful ketika sesi perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat mendakwa diugut supaya menyatakan sokongan kepada Anwar.

Tanpa menamakan mana-mana pihak, beliau turut mendakwa ditawarkan habuan sebagai balasan antaranya peruntukan wakil rakyat bernilai RM1.7 juta serta pengguguran pertuduhan kes di mahkamah.

Pendedahan oleh Wan Saiful mencetus kekecohan di Dewan Rakyat terutama selepas menggunakan label 'korup' yang merujuk kepada Perdana Menteri, sebelum Yang Dipertua, Tan Sri Johari Abdul, meminta ia ditarik balik.

Berita Harian X