Rabu, 28 Februari 2024 | 4:14pm
 Bekas peguam 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Jasmine Loo.
Bekas peguam 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Jasmine Loo.

Semuanya dirujuk kepada Najib: Jasmine Loo

KUALA LUMPUR: Bekas peguam 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Jasmine Loo memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini, tanggapannya ketika menyertai syarikat itu adalah segala-galanya dirujuk kepada Datuk Seri Najib Razak untuk kelulusan sebelum sebarang projek dapat dilaksanakan.

Saksi pendakwaan ke-50 dalam keterangannya berkata, ia adalah berdasarkan kepada peranan Najib sebagai Perdana Menteri ketika itu, Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB (BOA) dan wakil pemegang saham syarikat berkenaan.

Beliau berkata, sudah menjadi amalan dalam 1MDB untuk segala-galanya dirujuk kepada Najib terlebih dahulu dan pada dasarnya, ia keputusan individu yang membuat semua keputusan berkenaan.

Bagaimanapun, peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah membantah kenyataan itu dan menegaskan terdapat perbezaan antara peranan anak guamnya sebagai Pengerusi BOA dan Perdana Menteri.

Menurut Muhammad Shafee, Pengerusi BOA tidak boleh memulakan sesuatu tanpa dirujuk oleh Lembaga Pengarah terlebih dahulu yang juga selaku organ dominan dalam syarikat bagaimanapun, menurut peguam itu perkara berkenaan tidak diamalkan di 1MDB.

Muhammad Shafee berkata, sebagai peguam, Jasmine sepatutnya mengetahui bahawa Najib sebagai Pengerusi BOA tidak boleh membuat keputusan tanpa merujuknya terlebih dahulu kepada Lembaga Pengarah 1MDB (BOD).

Beliau berkata, sebaliknya Jasmine sengaja mengabaikan perkara terbabit kerana saksi adalah sebahagian daripada konspirasi untuk menipu syarikat berkenaan.

Katanya, Pengerusi BOA tidak mempunyai kuasa tertentu dalam peranannya, bagaimanapun perkara berkenaan tidak dipersetujui oleh saksi.

Jasmine juga tidak bersetuju dengan semua cadangan Muhammad Shafee dan mengulangi keterangannya bahawa Najib sebagai Perdana Menteri Malaysia, wakil pemegang saham daripada Menteri Kewangan dan pengerusi BOA adalah individu yang sama dan satu kelulusannya ialah kelulusan bagi ketiga-tiga peranan itu.

Jasmine juga tetap dengan keterangannya dan menegaskan bahawa kebiasaan dalam 1MDB adalah merujuk kepada Najib yang juga Pengerusi BOA.

"Ketika saya menyertai 1MDB, itu sudah menjadi amalan dan kami bergantung kepada nasihat profesional setiausaha syarikat. Jika mereka mempunyai pendapat berbeza, mereka akan melakukannya dengan cara itu," katanya.

Muhammad Shafee kemudian mencadangkan bahawa ia adalah tugas Jasmine sebagai peguam syarikat untuk memastikan 1MDB mematuhi Memorandum dan Artikel Persatuan (M&A) syarikat, tetapi Loo menjawab, ia bukan tugasnya dan amalan di 1MDB adalah merujuk kepada Najib sebagai Pengerusi BOA.

Sementara itu, Loo juga menafikan keterangan bekas rakan kongsi Goldman Sachs, Tim Leissner pada prosiding perbicaraan terhadap bekas ketua perbankan pelaburan Roger Ng di mahkamah di New York.

Muhammad Shafee membangkitkan perkara itu ketika merujuk kepada transkrip perbicaraan bagaimana Leissner menyatakan dia (Jasmine) adalah komponen utama yang menghubungkan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low dengan 1MDB.

Muhammad Shafee bertanyakan sama ada Jasmine sedar bahawa Leissner memberi keterangan bahawa dia (Jasmine) dilantik pada dasarnya untuk menghalalkan dokumen yang sebenarnya menyalahi undang-undang, yang dijawab saksi, "tidak sedar."

Muhammad Shafee turut membacakan petikan keterangan Leissner di mana beliau menyatakan Jasmine tidak berpuas hati dengan jumlah wang yang akan diterima daripada skim 1MDB kerana ia tidak mencukupi.

Menjawab persoalan itu Jasmine berkata, beliau tidak bersetuju dengan mana-mana kenyataan yang dibuat oleh Leissner.

Jasmine memberikan keterangan terhadap Najib, 70, yang berdepan empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Berita Harian X