Rabu, 28 Februari 2024 | 4:14pm
Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Keselamatan (JPKK) Parlimen, Syed Ibrahim Syed Noh pada sidang media pembentangan Tinjauan Umum dan Laporan Penuh Kajian PLKN di oleh badan bukan kerajaan (NGO), Architects of Diversity (AOD), di ibu negara, hari ini. - NSTP/AIMAN FARHAN
Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Keselamatan (JPKK) Parlimen, Syed Ibrahim Syed Noh pada sidang media pembentangan Tinjauan Umum dan Laporan Penuh Kajian PLKN di oleh badan bukan kerajaan (NGO), Architects of Diversity (AOD), di ibu negara, hari ini. - NSTP/AIMAN FARHAN

Semangat patriotik, cinta negara kurang jadi asas utama laksana semula PLKN

KUALA LUMPUR: Kurang patriotik selain kurang semangat cintakan negara dalam kalangan belia menjadi asas utama kerajaan memutuskan untuk mengembalikan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).

Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Keselamatan (JPKK) Parlimen, Syed Ibrahim Syed Noh, secara umum dapat melihat semangat patriotik dan rasa cintakan negara semakin terhakis dalam kalangan anak muda negara.

"Sebab itu, dalam konteks PLKN, terdapat tiga tunjang menjadi matlamat utama yang kita inginkan. Pertama adalah semangat cintakan negara, yang kedua perpaduan nasional dan ketiga, kesukarelawan.

"Ini termasuk pembinaan karakter kepimpinan dalam kalangan anak muda, selain memastikan mereka punyai kemampuan dan kapasiti untuk benar-benar dapat memainkan peranan dalam urusan kenegaraan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pembentangan Tinjauan Umum dan Laporan Penuh Kajian mengenai PLKN oleh badan bukan kerajaan (NGO), Architects of Diversity (AOD), di sini, hari ini.

Hasil tinjauan dan laporan dibentangkan Pengarah Eksekutif AOD, Jason Wee dan Pengurus Advokasinya, Amin Mubarak. Yang turut hadir, bekas Timbalan Komandan Latihan PLKN, Mejar (B) Ismail Mohd Hassan.

Syed Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Ledang berkata, berdasarkan tinjauan umum oleh Kementerian Pertahanan (MINDEF), masih ada rasa patriotisme dalam kalangan anak muda, tetapi rendah.

Dari segi kapasiti, katanya, kemampuan untuk menaikkan atau meningkatkan patriotisme atau semangat cintakan negara dalam diri anak muda masih kurang

"Antara sebab utama kita perlu wujudkan PLKN 3.0 ini adalah kerana isu terbabit," katanya.

Katanya, PLKN 3.0 yang berpaksikan tiga tonggak utama relevan dilaksanakan semula dan ia dipersetujui banyak pihak walaupun mungkin ada sedikit perbezaan matlamat berbanding program hampir sama dijalankan di negara lain.

Mengenai pembentangan tinjauan dan laporan kajian PLKN 3.0 oleh AOD, beliau berkata, semua hasil tinjauan dan laporan yang dibentangkan hampir sama dengan data dan maklumat diperoleh JPKK.

"Tidak lari jauh daripada yang dibincangkan dalam JPKK daripada taklimat yang diberikan oleh MINDEF dan juga perbincangan, hampir 99 peratus sama seperti yang kita kumpulkan dalam satu penyata tahun lalu.

"JPKK ada mengeluarkan penyata itu pada November 2023 yang memberikan gambaran berkenaan taklimat diberikan MINDEF serta ulasan dan syor dikemukakan JPKK kepada MINDEF serta kerajaan," katanya

Menerusi penyata itu, Syed Ibrahim menjelaskan, PLKN 3.0 tiada persamaan dengan modul pelaksanaan PLKN 1.0 atau PLKN 2.0 sebelum ini.

"Ini kerana ia membabitkan pelajar dari Tingkatan Empat lagi, bermakna ada pra PLKN yang akan berlaku. Perkara ini akan direalisasikan dengan adanya kerjasama di antara MINDEF dan Kementerian Pendidikan.

"Di peringkat Kementerian Pendidikan sendiri, ada modul pembinaan karakter di peringkat Tingkatan Empat, bermakna ia bermula lebih awal, tetapi akan dihentikan pada Tingkatan Lima kerana menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

"PLKN 3.0 kemudian akan dibuka untuk belia lepasan SPM sehingga umur 35 tahun, bermakna peserta adalah mereka yang berusia antara 16 hingga 35 tahun," katanya.

Katanya, terdapat dua fasa dalam PLKN 3.0, iaitu fasa asas dan fasa khusus, yang mana fasa asas lebih kepada pembinaan karakter, iaitu untuk pelajar Tingkatan Empat, manakala fasa khusus pula merangkumi 90 peratus latihan ketenteraan dan 10 peratus kenegaraan.

"Itu yang dirancang sekarang, soal peratusan itu akan dibincangkan lagi dan akan berdasarkan tinjauan yang kami buat serta perbandingan dengan negara-negara lain," katanya.

Beliau berharap JPKK Parlimen juga berpeluang meninjau pelaksanaan program serupa di negara lain untuk melihat sama ada apa yang dilakukan di negara berkenaan berjaya, berkesan atau tidak.

"Tidak salah membuat perbandingan dengan negara lain dan melihat sama ada kita boleh laksanakan sama, serupa dengan mereka kerana ia berkesan atau lebih baik daripada negara terbabit," katanya.

Sementara itu, Amin berkata, PLKN 3.0 akan dijadikan asas untuk melahirkan belia patriotik, lasak, mempunyai ketahanan diri tinggi serta mampu menangkis sebarang pengaruh negatif.

Katanya, sasaran utama PLKN 3.0 adalah untuk melahirkan individu yang dapat membantu memelihara keselamatan negara, diri sendiri dan orang ramai daripada sebarang unsur yang boleh memudaratkan.

"Latihan modul fizikal yang berunsur tentera berserta pendidikan sivik dapat merangsang belia untuk bertindak dengan integriti, disiplin dan hemah tinggi dalam masa depan.

"PLKN juga dapat membanteras gejala negatif yang dapat memudaratkan kestabilan negara seperti salah guna kuasa, rasuah dan penyelewengan wang. Fokus pertama ini juga dapat meningkatkan kesejahteraan, kedamaian dan kemakmuran negara," katanya.

Tambah beliau, PLKN 3.0 juga platform untuk mengembangkan patriotisme, ilmu ketatanegaraan dan semangat cintakan negara.

"Generasi muda dapat menguasai ilmu pengetahuan yang merangkumi pengajian sivik, pengenalan kepada struktur pentadbiran dan proses pengurusan kerajaan. Mereka juga akan belajar meneliti Perlembagaan negara.

"Juga hak mereka dan setiap insan dikelilingi mereka, meningkatkan kesedaran tentang rangka sosial, adab dan budaya di negara kita. Dengan ini, belia dapat mengasah pengetahuan mengenai ketatanegaraan.

"Ilmu diperoleh secara langsung dapat semarakkan patriotisme dan semangat cinta mereka kepada negara," katanya memaklumkan, PLKN 3.0 juga fokus untuk mengukuh kesepaduan sosial pelbagai kaum, agama dan peringkat umur serta taraf sosial seiring identiti kebangsaan

"PLKN adalah gelanggang di mana persefahaman dan dialog sesama setiap lapisan masyarakat dapat dipupuk," katanya.

Menurut Amin, golongan muda, terutama yang membesar dalam komuniti yang homogenos dapat didedahkan dan merasai pengalaman serta berdepan suasana yang pelbagai dan berlainan daripada kebiasaan mereka.

"Kelompok belia ini dapat berinteraksi dan jalin rangkaian persahabatan yang melangkaui norma mereka. Ini akan menyatukan dan memupuk sifat empati sesama pelatih. Dengan jalinan kesepaduan, secara serentak semangat kekitaan dan identiti kebangsaan dapat disuburkan," katanya.

Fokus terakhir PLKN 3.0 adalah untuk dijadikan medan pembangunan belia pelbagai latar belakang yang dapat berkumpul, dididik dan diperkasakan dengan kemahiran dan pengetahuan untuk menaikkan taraf kehidupan dan meningkatkan nilai kebolehpasaran mereka.

"Dengan pelbagai program pembangunan belia, pelatih dapat dipersiapkan dengan pengetahuan keusahawanan, kompetensi teknologi terkini, kemahiran teknikal dan vokasional," katanya.

Berita Harian X