Rabu, 28 Februari 2024 | 3:09pm
Tinjauan stok minyak paket di beberapa kedai di Bandar Dato Onn, Johor Bahru. - NSTP/Nur Aisyah Mazalan
Tinjauan stok minyak paket di beberapa kedai di Bandar Dato Onn, Johor Bahru. - NSTP/Nur Aisyah Mazalan

Beberapa lokasi di Johor Bahru tiada minyak masak subsidi

JOHOR BAHRU: Ketiadaan bekalan minyak masak paket di beberapa lokasi di bandar raya ini menimbulkan keresahan pengguna.

Tinjauan di kedai runcit dan kedai serba guna di sekitar Bandar Dato' Onn, Taman Daya dan Adda Height, di sini, mendapati rak-rak menempatkan minyak masak paket bersubsidi kosong.

Pekerja kedai yang ditemui turut mengakui bekalan minyak paket bersubsidi amat kurang sejak beberapa bulan lalu dan semakin ketara kebelakangan ini.

Pengguna, Raja Ariza Raja Abdul Rahman, 53, mendakwa beliau menghadapi kesukaran membeli minyak paket bersubsidi sejak bulan lalu.

Katanya, berikutan itu beliau terpaksa membeli minyak masak botol yang lebih mahal.

"Sekarang semakin susah nak dapatkan minyak paket bersubsidi kerana banyak kedai runcit dan serbaguna di kawasan Bandar Dato' Onn, Adda Height dan Taman Daya, sering tiada bekalan.

"Ada satu kedai runcit yang masih jual minyak masak paket bersubsidi di Bandar Dato' Onn, tapi buat syarat hanya dibenarkan beli satu paket seorang berbanding tiga paket, sejak bulan lalu.

"Golongan berpendapatan rendah termasuk saya terbeban dengan ketiadaan minyak masak bersubsidi ini kerana ia meningkatkan kos belanja dapur ketika barangan mentah lain termasuk bawang besar dan ayam juga mahal," katanya ketika ditemui.

Dalam pada itu, pekerja kedai serbaguna, Basyira Abdul Rahim, 43, berkata bekalan minyak masak bersubsidi memang amat terhad sejak beberapa bulan lalu.

Katanya, pembekal mendakwa bekalan minyak masak itu tidak mencukupi kerana permintaan yang sentiasa tinggi.

"Kami selalunya membuat tempahan antara lima dan enam kotak minyak masak bersubsidi namun hanya dapat dua atau tiga sahaja

"Selalunya tak sampai dua hari minyak masak bersubsidi habis dibeli pengguna, menyebabkan rak minyak masak sentiasa kosong," katanya.

Sementara itu, Pengarah Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor, Lilis Saslinda Pornomo, berkata pihaknya sedang membuat pemeriksaan di kawasan yang diadukan pengguna.

"Pegawai KPDN Johor sedang membuat pemeriksaan di kawasan terbabit dan kita akan memaklumkan hasil siasatan kepada media dalam masa terdekat," katanya.

Berita Harian X