Rabu, 28 Februari 2024 | 12:52pm

Parlimen kecoh Tasek Gelugor dakwa cuba disogok untuk sokong PM

KUALA LUMPUR: Sesi perbahasan Titah Diraja hari kedua di Dewan Rakyat hari ini kecoh apabila seorang wakil pembangkang mendakwa diugut supaya menyatakan sokongan kepada kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Datuk Wan Saiful Wan Jan (PN-Tasek Gelugor) ketika mendedahkan perkara itu, mendakwa ugutan itu diterima ketika dihubungi beberapa pihak yang identitinya tidak didedahkan kepada umum.

Rentetan itu, beliau yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU mendakwa akur untuk mengadakan beberapa pertemuan dengan pihak terbabit, antaranya di sebuah hotel di Bukit Bintang di sini, pada 17 Januari lalu.

Beliau juga mendakwa ditawarkan habuan sebagai balasan untuk menyatakan sokongan kepada Anwar yang juga Menteri Kewangan, antaranya peruntukan wakil rakyat bernilai RM1.7 juta.

Pendedahan Wan Saiful itu menyebabkan beberapa Ahli Parlimen blok kerajaan bangkit mempersoalkan kenyataan yang didakwa sebagai bersangka jahat.

Dakwa Wan Saiful, satu nama dikenali Farhan' diulang berkali-kali dalam siri pertemuan itu seolah-olah individu terbabit adalah punca kuasa bagi gerakan memancing sokongannya itu.

"Saya ada rekod mengenai semua pertemuan ini, jadi jangan persoalkan... nanti saya dedahkan satu persatu. Modus operandinya teliti, berjumpa di tempat tertutup dalam bilik hotel dan individu (dan) yang berjumpa saya tidak menggunakan nama sebenar," katanya.

Pendedahan Wan Saiful itu memaksa Lee Chuan How (PH-Ipoh Timur) mencelah sebelum mendesak Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu membuat laporan polis jika dakwaan terbabit betul-betul berlaku, bukannya sekadar membuat persepsi di Dewan Rakyat.

"Cukuplah, jangan berlindung di sebalik imuniti Dewan Rakyat...kalau berani, keluarlah buat sidang media di luar Dewan Rakyat," katanya.

RSN Rayer (PH-Jelutong) turut bangkit mencelah menggesa Wan Saiful membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), selain menyifatkan tuduhan yang dibuat itu sebagai serius.

Namun, situasi bertambah gamat apabila Wan Saiful mendakwa pihak menyalahgunakan kuasa adalah individu yang mengadap Yang di-Pertuan Agong sebelum mesyuarat Kabinet, setiap minggu.

"Kita kena ingat dalam ucapan YDPA, baginda akan memburu semua pihak yang korup. Korup itu maksudnya menyalahgunakan kuasa. Ampun Tuanku, orang yang salah guna kuasa itu akan mengadap Tuanku setiap minggu sebelum mesyuarat Kabinet," katanya.

Beberapa Ahli Parlimen blok kerajaan kemudian bangkit sambil mendesak Wan Saiful menarik balik kenyataan beliau yang disifatkan sebagai tuduhan serius.

Selain Rayer, turut bangkit adalah Howard Lee Chuan How (PH-Ipoh Timur) dan Mohammed Taufiq Johari (PH-Sungai Petani.

Beberapa Ahli Parlimen blok kerajaan bangkit mempersoal kenyataan Wan Saiful sambil meminta beliau menarik balik tuduhan korup.
Beberapa Ahli Parlimen blok kerajaan bangkit mempersoal kenyataan Wan Saiful sambil meminta beliau menarik balik tuduhan korup.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul kemudian cuba mengawal situasi dengan mengarahkan Wan Saiful untuk menarik balik kenyataan beliau yang menuduh pihak terbabit sebagai korup tanpa mengetengahkan bukti.

Dalam nada tegas, beliau turut memberi amaran akan mengambil tindakan menggantung mana-mana Ahli Parlimen daripada menghadiri persidangan Dewan Rakyat selama enam bulan, jika masih enggan mematuhi peraturan.

"Kalau kita sebut pasal 'hearsay' (khabar angin), saya boleh ungkit (khabar angin) dari 30 tahun dahulu. Kita perlu bergerak ke hadapan. Kalau anda tak bersetuju (dengan ugutan terbabit) pergi ke SPRM dan balai polis.

"Biarkan mereka siasat dan buat tangkapan. Kalau di sini (Dewan Rakyat), tiada siapa boleh buat apa-apa. Siapa boleh sahkan (dakwaan terbabit)? Sebab itu saya kata jangan gunakan 'hearsay'.

"Saya tahu kamu (Wan Saiful) beremosi, isteri anda sakit dan semua orang pun ada masalah, tetapi anda perlu menghormati saya. Bila saya cakap teruskan, jangan sebut lagi, tetapi anda terus mengulanginya... ini mengundang masalah. Anda boleh ceritakan perkara ini di kamar saya, bukannya di sini," katanya.

Johari turut menamatkan slot bahas diberikan kepada Wan Saiful selepas Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu bersetuju menarik balik tuduhan korup.

Situasi kecoh di Dewan Rakyat ketika Ahli Parlimen Tasek Gelugor membangkitkan dakwaan beliau cuba disogok kononnya untuk menyokong Perdana Menteri.
Situasi kecoh di Dewan Rakyat ketika Ahli Parlimen Tasek Gelugor membangkitkan dakwaan beliau cuba disogok kononnya untuk menyokong Perdana Menteri.
Berita Harian X