Rabu, 28 Februari 2024 | 11:29am
Laporan dalam BH Online.
Laporan dalam BH Online.

EDC turut berisiko terdedah melalui makanan, udara, air

KUALA LUMPUR: Bahan kimia pengganggu endokrin (EDC) tidak hanya mendatangkan kesan pada kulit hasil penggunaan pelbagai produk kosmetik, sebaliknya turut berisiko terdedah melalui diet atau pemakanan, selain udara dan juga air.

Berdasarkan Persatuan Endokrin, terdapat hampir 85,000 bahan kimia buatan manusia di dunia dengan 1,000 atau lebih daripadanya boleh menjadi pengganggu endokrin berdasarkan sifat uniknya.

Presiden International Institute of Wellness & Aesthetic Medicine (IIWAM), Prof Dr S Ramamurthy, berkata pengguna sentiasa menggunakan produk penjagaan diri (PCP) bagi kebersihan diri, dandanan atau kecantikan seperti kosmetik, pelindung matahari, pencuci badan cecair dan sabun.

"Produk ini diperbuat daripada bahan berbeza dan boleh menjadi sumber pendedahan kepada EDC termasuk phthalates, fenol dan triclosan.

"Jadi memang diakui ramai mungkin terdedah kepada gangguan endokrin melalui makanan dan minuman, penggunaan racun perosak dan kosmetik yang digunakan. Ia kerana sentuhan dengan bahan kimia ini mungkin berlaku melalui diet, udara, kulit dan air," katanya kepada BH.

Prof Dr S Ramamurthy. - Foto BH
Prof Dr S Ramamurthy. - Foto BH

Semalam BH melaporkan kegagalan fungsi buah pinggang, kanser kulit dan gangguan hormon antara risiko penyakit menanti pengguna produk penjagaan diri dan kosmetik yang mengandungi EDC yang penggunaannya semakin meluas berikutan mudah diperoleh dalam talian.

EDC adalah bahan kimia yang mampu meniru, menyekat dan mengganggu hormon dalam sistem endokrin tubuh, dengan antara bahannya ialah paraben, steroid, hydroquinone, tretinoin dan merkuri.

Walaupun mengandungi bahan terlarang, ramai terpengaruh menggunakannya berikutan keupayaannya memberi kesan pantas dalam menghasilkan kulit bebas cela.

Antara produk dikesan mengandungi bahan terlarang itu termasuklah losyen atau krim pelembab, krim malam, krim pemutih, produk penjagaan rambut dan krim pelindung sinar matahari yang lazimnya digunakan pada wajah serta tubuh.

Mengulas lanjut, Ramamurthy berkata, ketika ini banyak kajian kes berkaitan EDC yang membabitkan pengguna yang terjejas akibat menggunakan kosmetik yang mengandungi bahan kimia itu.

"Sebagai contoh, penyelidik antarabangsa menganalisis 98 kajian manusia dan 299 kajian haiwan yang menilai sejumlah 96 bahan kimia berbeza.

"Phthalates dan fenol adalah kelas kimia yang paling dikaji dan kebanyakan kajian ini mengkaji ciri seks sekunder seperti perkembangan payudara dan perubahan dalam tahap hormon estradiol dan testosteron," katanya.

Jalankan penilaian bahaya

Beliau turut memberi contoh kajian dilakukan ahli epidemiologi pembiakan alam sekitar di Harvard TH Chan School of Public Health, James-Todd yang mengetuai kajian Environmental Reproductive and Glucose Outcomes (ERGO) dibiayai Institut Sains Kesihatan Persekitaran Kebangsaan (NIEHS) bagi meneroka peranan faktor persekitaran terhadap kehamilan dan kesihatan selepas bersalin.

"Sebagai sebahagian kajian itu, beliau mengkaji bagaimana phthalates, paraben dan bahan kimia lain dalam produk penjagaan diri harian termasuk pengilat kuku dan minyak rambut, pembungkusan makanan dan tiub perubatan, boleh mengganggu sistem hormon atau endokrin badan terutamanya ketika kehamilan," katanya.

Ditanya mengenai usaha memastikan pengguna selamat daripada mudarat produk mengandungi EDC ini, beliau menjelaskan, penyelidik sudah menjalankan penilaian bahaya dan risiko yang menilai bukti saintifik dengan ia mengutamakan keperluan penyelidikan dan memaklumkan keputusan kawal selia.

"Ini antara dilakukan untuk menangani kebimbangan kesihatan awam mengenai pendedahan EDC terhadap alam sekitar, namun penilaian itu biasa dilakukan berdasarkan 'kimia demi kimia' dan memerlukan masa dan sumber yang besar.

"Justeru terdapat keperluan semakin meningkat untuk pendekatan lebih cekap, terutama memandangkan peningkatan bilangan bahan kimia yang digunakan," katanya.



Pengguna boleh bantu cegah produk kosmetik tak selamat

Laporan daripada pengguna mengenai masalah berkaitan produk kosmetik boleh membantu Kementerian Kesihatan (KKM) mencegah keberadaan produk tidak selamat di pasaran.

Presiden Persatuan Farmasi Malaysia (MPS), Amrahi Buang, berkata sehubungan itu, orang ramai diminta mengemukakan aduan kepada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) di KKM sekiranya menghadapi masalah berkaitan produk kosmetik yang mempunyai notifikasi kementerian itu.

Melalui aduan itu, katanya, KKM akan bertindak termasuk membuat pembatalan notifikasi produk kosmetik sekiranya ia disahkan mengandungi bahan kimia terlarang.

Presiden Persatuan Farmasi Malaysia (MPS), Amrahi Buang. - Foto BH
Presiden Persatuan Farmasi Malaysia (MPS), Amrahi Buang. - Foto BH

Apa yang menjadi isu, beliau berkata produk kosmetik sekarang tidak perlu didaftarkan seperti produk farmaseutikal, sebaliknya sekadar memberikan notifikasi kepada NPRA sahaja.

"Ketika ia (peraturan itu) diwajibkan, proses pendaftarannya sangat ketat dengan pemeriksaan meliputi semua perkara dan memakan masa hingga berbulan-bulan bagi suatu produk baharu itu.

"Namun sekarang ini ia sudah dilonggarkan kerana ada persepakatan pada peringkat Asia Tenggara berikutan terdapat terlalu banyak produk. Jadi peraturan dilonggarkan, iaitu pemain industri hanya perlu notify (memaklumkan) sahaja," katanya kepada BH.

Beliau berkata demikian mengulas laporan muka depan BH semalam mengenai kosmetik beracun yang merosakkan buah pinggang, saraf serta berisiko menyebabkan kanser kulit.

Ia susulan pendedahan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mengenai banyak produk bayi dan kosmetik dikesan mengandungi bahan kimia pengganggu endokrin (EDC) berikutan hasil ujian dilakukan ke atasnya.

Ujian dilakukan di Korea Selatan itu mendapati 15 daripada 32 sampel produk terdiri cucian tangan, pencuci badan, ubat gigi, deodoran, cecair kumur, cecair pencuci untuk wanita dan tisu bayi didapati mempunyai label bahan yang salah.

Ujian sama juga mendapati Malaysia dari lapan negara yang mengambil bahagian, mempunyai peratusan tertinggi bagi label bahan yang tidak betul iaitu 53.6 peratus daripada sampel yang dihantar.

Amrahi berkata, produk kosmetik negara ini sememangnya mempunyai peraturan yang perlu dipatuhi pemain industri kerana ia tertakluk dalam garis panduan dan regulatori.

Bagi mengetahui sama produk tertentu didaftarkan, dibatalkan atau tiada langsung data mengenainya, orang ramai boleh melakukan semakan di laman web NPRA.

"Penting bagi masyarakat untuk celik dan tidak bersikap membabi buta dengan berusaha melakukan pencarian maklumat mengenai produk digunakan kerana kulit setiap orang berbeza.

"Pada masa sama, pengusaha kosmetik perlu lebih beretika kerana ia membabitkan keselamatan pengguna dan bertanggungjawab, kerana pengguna yang mengalami kerosakan kulit perlu menanggung kecacatan kekal," katanya.


INFO EDC

  • Bahan kimia pengganggu endokrin (EDC) ialah bahan kimia yang mampu meniru, menyekat dan mengganggu hormon dalam sistem endokrin tubuh.
  • Antara bahan EDC ialah paraben, plumbum, hydroquinone, tretinoin, merkuri yang digunakan dalam kosmetik.
  • Phthalate terdapat dalam makanan dan Bisphenol A (BPA), bahan bagi pembuatan plastik.
  • EDC terdapat dalam produk cucian tangan, pencuci badan, ubat gigi, deodoran, cecair kumur, cecair pencuci wanita dan tisu bayi.
  • Wanita lebih terkesan dengan mudarat EDC disebabkan faktor fisiologi, solekan biologi dan penentu sosial.
  • EDC boleh menjejaskan kualiti sperma dan embrio
  • Produk kecantikan mengakibatkan masalah kepada janin dan perkembangan otak
  • Buah dan sayur juga disembur bahan kimia EDC.
  • Bahagian dalam makanan dalam tin juga diselaputi bahan mengandungi EDC

 

Bahan terlarang dalam kosmetik

Kosmetik beracun itu mengandungi Hydroquinone, merkuri, tretinoin dan paraben.

 

Hydroquinone

  • Menyebabkan kulit kemerahan
  • Hipersensitif
  • Menghalang proses pigmentasi (depigmentasi)
  • Mengurangkan perlindungan kulit daripada sinaran UV
  • Risiko Kanser Kulit

Tretinoin

  • Kulit pedih, tidak selesa dan mengelupas
  • Hipersensitif kepada cahaya matahari

Merkuri

  • Kerosakan buah pinggang dan sistem saraf
  • Kulit ruam dan inflasi
  • Mengganggu perkembangan otak kanak-kanak sekiranya produk diserap masuk ke kulit

Paraben

  • Boleh mengganggu hormon dalam badan dan membahayakan kesuburan dan organ pembiakan
  • Menjejaskan hasil kelahiran, dan meningkatkan risiko kanser.
  • Menyebabkan kerengsaan kulit
Berita Harian X