Rabu, 28 Februari 2024 | 8:42am
Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin menerima kunjungan daripada Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia, Ailsa Terry di Istana Sri Kinabalu semalam. - fotoBERNAMA
Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin menerima kunjungan daripada Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia, Ailsa Terry di Istana Sri Kinabalu semalam. - fotoBERNAMA

UK mahu tingkatkan lagi kerjasama dengan Sabah lonjakkan ketibaan pelancong - Pesuruhjaya Tinggi

KOTA KINABALU: United Kingdom (UK) berhasrat meningkatkan lagi kerjasama dengan Sabah dalam industri pelancongan untuk melonjakkan ketibaan pelancong dari kedua-dua pihak, kata Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia, Ailsa Terry.

Beliau berkata Kerajaan UK telah menyemak nasihat perjalanan ke timur Sabah tahun lepas dan langkah itu penting bagi menarik lebih ramai rakyat British melancong ke Negeri Di Bawah Bayu itu.

"Kami menjadikannya lebih mudah bagi warga British datang ke Sabah untuk bercuti. Kami telah meminda nasihat perjalanan itu. Kami telah mengurangkan kawasan terlibat jadi sekarang anda boleh mengembara menurut nasihat kami ke kawasan yang lebih besar di Sabah dari sebelumnya.

Jadi, kami berharap sebahagian daripada proses ini menggalakkan pelancongan dan pelancong untuk datang ke sini," katanya selepas melakukan kunjungan hormat kepada Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin di Istana Seri Kinabalu semalam.

Selain pelancongan, beliau berkata United Kingdom juga ingin bekerjasama dengan Sabah dalam bidang-bidang lain seperti perniagaan, perdagangan, pelaburan, iklim dan pemuliharaan alam sekitar.

Pada tahun lepas media melaporkan Kerajaan UK telah menyemak nasihat perjalanannya ke timur Sabah sebagai satu langkah penting yang mencerminkan penambahbaikan dalam keadaan keselamatan di Sabah.

Terry yang fasih berbahasa Melayu berkata ini merupakan lawatan rasmi sulungnya ke Sabah selaku Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia tetapi beliau telah melawat negeri ini buat julung kalinya kira-kira 10 tahun lepas dan jatuh cinta dengan keindahannya.

"Saya sangat gembira di sini hari ini, pertama kali saya datang ke sini untuk bertemu dengan Yang Dipertua Negeri Sabah. Tiga kali saya berada di Sabah, sangat cantik dan satu tempat yang unik, " katanya.

Sementara itu, Jabatan Ketua Menteri Sabah dalam satu kenyataan berkata Terry juga melakukan kunjungan hormat terhadap Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor di Menara Kinabalu, semalam.

"Antara isu yang dibincangkan ialah mengukuhkan lagi hubungan, meningkatkan perdagangan dan pelaburan daripada syarikat British di Sabah, membawa universiti British untuk membuka cawangan di Sabah, program ijazah berkembar dengan Kolej Universiti Yayasan Sabah, keselamatan dan pelancongan," katanya. – BERNAMA

Berita Harian X