Selasa, 27 Februari 2024 | 8:38pm
Kereta yang dinaiki pasangan suami isteri serta dua anak mereka termasuk mangsa yang maut remuk dalam kemalangan di Kilometer 184 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan - Foto ihsan PDRM
Kereta yang dinaiki pasangan suami isteri serta dua anak mereka termasuk mangsa yang maut remuk dalam kemalangan di Kilometer 184 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan - Foto ihsan PDRM

Bayi dibawa ayah balik kenduri aqiqah maut kemalangan

JASIN: Hasrat sepasang suami isteri untuk mengadakan majlis aqiqah anak bongsu mereka berusia dua bulan di kampung bertukar tragedi apabila bayi mereka terbunuh dalam nahas enam kenderaan di Kilometer 184 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan, dekat sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, bayi terbabit, Mohamad Sufyan Mohamad Shahizwan yang parah di kepala dan badan disahkan meninggal dunia pada jam 2.55 petang ketika dirawat di Hospital Melaka.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Ahmad Jamil Radzi berkata, kemalangan membabitkan sebuah treler membawa kereta, lori, tiga kereta dan sebuah pacuan empat roda yang sedang dalam perjalanan dari arah utara ke selatan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila treler dipandu lelaki berusia 39 tahun terbabit dipercayai hilang kawalan secara tiba-tiba sebelum merempuh Perodua Ativa dinaiki Mohamad Shahizwan Abd Hamid, 35, dan isteri, Nurmadiha Nisa Suhaimi,34, serta dua anak lelaki mereka termasuk bayi terbabit.

"Pelanggaran menyebabkan bayi mereka yang duduk di kerusi kanak-kanak bahagian belakang cedera parah di kepala dan badan manakala Mohamad Shahizwan yang memandu kereta serta isteri dan seorang lagi anak lelaki pasangan itu berusia tiga tahun tidak cedera.

"Treler itu turut merempuh empat lagi kenderaan iaitu sebuah lori, kenderaan Ford Ranger, Perodua Myvi dan Mercedes Benz, namun semua empat pemandu dan tiga penumpangnya selamat," katanya dalam kenyataan di sini.

Ahmad Jamil berkata, siasatan juga mendapati Mohamad Shahizwan yang juga pegawai penyiasat trafik di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya itu sedang dalam perjalanan bersama keluarga dari Putrajaya ke Kluang, Johor.

"Difahamkan mereka balik ke kampung untuk melakukan aqiqah bagi bayi berusia dua bulan itu.

"Setakat ini polis sudah mengambil sampel darah pemandu treler untuk analisis kimia, namun, ujian saringan air kencing belum dapat dilakukan kerana dia terpaksa ditahan di hospital akibat tekanan darah rendah," katanya.

Beliau berkata siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengetahui punca sebenar kemalangan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X