Selasa, 27 Februari 2024 | 5:39pm
Datuk Seri Hamzah Zainuddin. - BERNAMA
Datuk Seri Hamzah Zainuddin. - BERNAMA

PN akan kemuka memorandum khas perkasa undang-undang syariah kepada MKI

KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) akan mengemukakan memorandum khas kepada Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) bagi memperkasakan undang-undang syariah di negara ini.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata dalam memorandum itu, ia terkandung syor untuk dipertimbangkan kerajaan bagi melakukan pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan.

Jelasnya, langkah itu berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan yang membatalkan 16 kesalahan syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 yang beliau bimbang mendedahkan enakmen negeri lain kepada risiko pembatalan.

"Jangan pula tindak-tanduk kerajaan dilihat tunduk kepada suara-suara yang mengguris hati umat Islam seperti yang dibangkitkan rakan-rakan saya. Begitu juga dengan petisyen Nik Elin (peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid) yang akan menggugat Enakmen Jenayah Syariah di seluruh negeri-negeri dalam negara kita yang tercinta ini.

"Ini yang saya katakan, segala apa keputusan ini telah dibuat dalam kes Nik Elin, ia mendedahkan enakmen negeri yang lain kepada risiko pembatalan.

"Kami di PN mahu melihat ke hadapan dan menjunjung titah Sultan Selangor (Sultan Sharafuddin Idris Shah) selaku Pengerusi MKI, untuk mencari jalan memperbaiki kelompongan serius dalam kuasa serta dalam bidang kuasa berkaitan hak menganut dan mengamal majoriti rakyat negara ini.

"PN akan mengemukakan memorandum khas kepada MKI merangkumi cadangan pindaan Perlembagaan untuk dipertimbang kerajaan bagi memperkasa undang-undang syariah negara ini. Apabila semua ini sudah berlaku, ia menjadi tanggungjawab Kerajaan Persekutuan sepenuhnya untuk dilaksanakan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini.

Mengulas lanjut, Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut menyuarakan kebimbangan terhadap penularan fahaman pluraslisme, liberalisme dan anasir songsang seperti LGBT di negara ini, sehingga didakwa menembusi masyarakat.

Dakwanya, malah ada yang berani apabila secara terang-terangan mencabar perundangan negara.

"Kerajaan harus bertegas dalam hal yang menjadi fundamental rupa wajah masyarakat Malaysia. Sebab itu, rakan-rakan kita di sebelah sana (kerajaan) kena sedar diri sedikit. Jangan bermain dengan api. Harmoni bernilai harganya.

"Jangan sesekali kita kotori nikmat ini dengan apa juga kiraan politik sempit tanpa melihat kepada kepentingan demografi masyarakat yang lebih besar," katanya.

Berita Harian X