Selasa, 27 Februari 2024 | 5:21pm
 Heliza bersama suaminya Mahadi Badrul Zaman.
Heliza bersama suaminya Mahadi Badrul Zaman.

Nama suami Heliza masuk senarai teratas amaran pelaburan SC

KUALA LUMPUR: Suami kepada selebriti Heliza Helmi, Mahadi Badrul Zaman dimasukkan dalam senarai amaran pelaburan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

Semakan pada laman web 'Investor Alert List' SC mendapati nama ahli perniagaan terbabit dan syarikatnya, AUF MBZ Consortium Plt berada dalam senarai teratas.

Laman SC itu mengemaskini senarai aktiviti pelaburan secara tidak sah sama ada melalui entiti mahupun individu.

Berdasarkan kenyataan di senarai itu, individu dan syarikat milik Mahadi menjalankan aktiviti pasaran modal tidak berlesen untuk berurus niaga dalam sekuriti berhubung dengan pemasaran saham syarikat awam tidak tersenarai.

Terdahulu, tular di media sosial senarai nama suami Heliza iaitu Mahadi atau lebih dikenali sebagai Mahadi BZ.

Sebelum ini, seorang pelakon wanita mendakwa Mahadi menipunya apabila syarikat Mahadi dikatakan gagal menyiapkan rumah yang dibelinya, sejak lima tahun lalu.

Pelakon wanita itu mendakwa perlu membayar ansuran bulanan sebanyak RM5,000 tetapi premis yang dijanjikan siap tahun lalu itu masih tidak nampak bayangnya.

Berita Harian X