Selasa, 27 Februari 2024 | 4:55pm
Gambar hiasan
Gambar hiasan

4 tema resolusi pendidikan tinggi ke Kongres Ekonomi Bumiputera 2024

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menggariskan empat tema Resolusi Pendidikan Tinggi Bumiputera dalam menggerakkan usaha mengukuhkan kebolehpasaran graduan Bumiputera.

Ia membabitkan akses pendidikan tinggi kaum Bumiputera, penyediaan bakat mahasiswa Bumiputera semasa di universiti, kebolehpasaran graduan Bumiputera dan penubuhan pusat kajian pembangunan Bumiputera.

Resolusi itu dibentangkan oleh Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman; Datuk Dr Md Amin Md Taff (Universiti Pendidikan Sultan Idris), Prof Datuk Dr Massila Kamalrudin (Universiti Teknikal Malaysia Melaka) dan Prof Datuk Dr Shahrin Sahib@Sahibuddin (Universiti Teknologi MARA).

Resolusi itu dibentangkan kepada Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, semalam.

KPT berkata, kerjasama dalam menggariskan tema itu penting bagi menggerakkan usaha mengukuhkan tahap kebolehpasaran graduan Bumiputera yang semakin mencabar serta menuntut beberapa inisiatif dan sokongan.

Katanya, terdapat beberapa usaha yang perlu dilaksanakan, termasuk biasiswa khas diteruskan kepada pelajar Bumiputera, kerjasama antara agensi kerajaan dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC), kursus keusahawanan diperluaskan di universiti, serta penawaran biasiswa kepada pelajar B40 Bumiputera untuk mengikuti latihan industri di syarikat ternama.

"Aspek pemerkasaan graduan Bumiputera juga ditekankan seiring dengan Malaysia MADANI iaitu membentuk graduan dengan daya cipta tinggi, sahsiah dan integriti, semangat ihsan dan berupaya memajukan kerjaya sendiri," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan itu, beberapa siri bengkel bagi memperhalusi resolusi itu turut diadakan dan diketuai oleh Penasihat Pendidikan Tinggi, Prof Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali.

Beliau juga akan mewakili kluster pendidikan tinggi bagi membentangkan resolusi pada Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 (KEB 2024) yang akan berlangsung bermula 29 Februari sehingga 2 Mac ini.

"Sesi terbabit membincangkan penubuhan Pusat Kajian Pembangunan Bumiputera bagi tujuan membangunkan pangkalan data Bumiputera, menjalankan kajian, mewujudkan pelantar perbincangan, dan advokasi polisi bagi membangunkan masyarakat Bumiputera.

"Pusat ini akan dikelola oleh UiTM melalui Institut Pemikiran dan Kepimpinan Melayu (IMPAK) dan UKM melalui Malaysian Inclusivity, Development and Advancement Institute (MINDA)," katanya.

Katanya, dengan mengintegrasikan pendidikan yang relevan dengan keperluan industri, pengalaman pembelajaran melalui program pembangunan kemahiran dan keusahawanan serta jaringan profesional, graduan Bumiputera akan lebih bersedia untuk memasuki pasaran kerja.

Berita Harian X