Selasa, 27 Februari 2024 | 4:34pm
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul (kiri) menarik balik perintah melarang Datuk Awang Hashim (Pendang-PN) daripada memasuki dewan persidangan selama empat hari, selepas kira-kira sejam memutuskan keputusan itu.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul (kiri) menarik balik perintah melarang Datuk Awang Hashim (Pendang-PN) daripada memasuki dewan persidangan selama empat hari, selepas kira-kira sejam memutuskan keputusan itu.

Speaker tarik balik penggantungan empat hari terhadap wakil Pendang

KUALA LUMPUR: Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, menarik balik perintah melarang Datuk Awang Hashim (Pendang-PN) daripada memasuki dewan persidangan selama empat hari, selepas kira-kira sejam memutuskan keputusan itu.

Terdahulu, Awang menjadi 'mangsa' pertama dikenakan hukuman sedemikian selepas didapati lantang membantah keputusan Johari membenarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyampaikan ucapan tahniah kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan terima kasih kepada Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan apa yang diperkatakan Awang sehingga mendorong Johari terus mengeluarkan perintah berkenaan kepada Ahli Parlimen PAS itu.

Johari bersetuju menarik balik perintah itu selepas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin, 'merayu' kepada Johari memberi kelonggaran, selain meminta Awang menarik balik kata-katanya termasuk meminta maaf.

Awang bersetuju untuk menarik balik kenyataannya termasuk memohon maaf.

"Minta Pendang tarik balik, Harap boleh Speaker boleh bagi kelonggaran. Minta Pendang tarik balik," kata Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut itu.

Sebelum speaker bersetuju menarik balik hukuman itu, Awang bangkit untuk mendapatkan penjelasan daripada Johari berhubung keputusan itu.

Awang mendakwa beliau tidak 'faham' mengapa hukuman itu dikenakan kepadanya.

Menjelaskan mengapa hukuman itu dikenakan kepada Awang, Johari berkata ia selepas mendapati pemimpin PAS itu seolah-olah mencabarnya.

"Di antara pemimpin pembangkang yang paling saya hormat adalah Pendang, kawan saya, pegawai saya dulu, tetapi apabila saya sebut satu perkara, Pendang tarik balik. Oh (Pendang kata) saya takkan tarik balik. Kamu kawan saya atau tidak?

"Kamu tidak peduli kerana mulut santan binasa. Anggaplah saya kawan tetapi bila saya mempengerusikan (dewan ini) kena hormat itu kawan aku, dia Speaker. Kalau tidak hancur dewan ini.

"Kalau saya tak buat begitu (hukum), saya kata tarik balik, Pendang tarik balik...Oh (Pendang kata) aku takkan tarik balik. Kamu tidak boleh macam itu kepada speaker. Mana-mana orang tak boleh terima, sebab itu saya bagi empat hari walaupun (Yang Dipertuan) Agong kata 14 hari," katanya.

Berikutan itu, semua Ahli Parlimen PN yang tidak bersetuju dengan 'kebenaran' Johari bertindak keluar dari dewan untuk mengadakan sidang media kerana tidak berpuas hati dengan tindakan Speaker.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, menjelaskan permohonan dilakukan di bawah peraturan 14(2).

Jelasnya, ia bukan memaklumkan kepada dewan, sebaliknya bagi memohon kebenaran.

"Jadi ahli daripada frontbencher menyokong permohonan saya. Kemudian Speaker akan tanya kepada dewan boleh atau tak boleh untuk setuju atau tidak. Tidak sampai (keputusan) setuju ke tidak, (tiba-tiba) pembangkang nak bantah.

"Kalau bantah itu bila peringkat setujulah. Pembangkang pun tak ikut peraturan. Kalau majoriti setuju atas prosedur dewan, itu sebab menteri minta kebenaran dewan. Biar dewan buat keputusan," katanya.

Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata mengikut amalan Parlimen, walaupun peraturan 14(2) menyatakan boleh tetapi jika diikutkan kelaziman amalan, sesuatu penerangan menteri mesti dimasukkan dalam Aturan Urusan Mesyuarat (AUM) hari berkenaan.

Beliau memberi contoh 'teladan' yang ditunjukkan pentadbiran kerajaan terdahulu pada 2022, menyenarai penerangan menteri dalam AUM.

"Pada 20 Januari 2022, semasa kerajaan lalu dalam mesyuarat khas disenaraikan penerangan menteri berkenaan bencana banjir, pengurusan banjir, bantuan bencana banjir, perancangan jangka panjang banjir.

"Tetapi pada hari ini, dengan penuh hormat kami Ahli Parlimen berada dalam keadaan bahawa penerangan menteri tidak disenaraikan dalam tempoh ini dan tidak ada apa-apa tajuk sebenarnya. Justeru, saya rasa ini tidak bertepatan dengan aturan," katanya.

Berita Harian X