Selasa, 27 Februari 2024 | 2:41pm
Gambar hiasan
Gambar hiasan

'Tiada rasa kesepunyaan pada sekolah punca ibu bapa enggan bayar yuran PIBG tinggi'

SEREMBAN: Amalan sistem pengurusan pendidikan di sekolah kebangsaan (SK) dan sekolah menengah kebangsaan (SMK) yang sangat berpusat dikenal pasti menyumbang kepada sikap ibu bapa terhadap isu yuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

Pensyarah Kanan Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad, berkata amalan itu menyebabkan ibu bapa tidak ada perasaan pemilikan terhadap sekolah terbabit.

"Apabila semuanya diputuskan pada peringkat pusat, ibu bapa akhirnya tidak memiliki perasaan kesepunyaan terhadap sekolah.

"Jika ibu bapa hadir ke sekolah, itu bukanlah untuk tujuan pembangunan sekolah. Mereka hanya datang sekali atau dua kali setahun saja apabila dijemput, itu pun atas urusan pelajaran anak masing-masing.

"Ini berbeza dengan cara Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) yang mana mereka ada Lembaga Pengelola Sekolah (LPS) yang sebahagian besar ahlinya dalam kalangan ibu bapa," katanya dalam kenyataan dalam laman rasmi Facebooknya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan akhbar ini berhubung sikap ibu bapa yang dikatakan liat membayar yuran PIBG, selain tiada sokongan alumni yang menjejaskan usaha pembangunan prasarana di SK dan SMK.

Mengulas lanjut, Anuar berkata, hakikatnya orang Melayu tidak kedekut, sebaliknya sangat pemurah apabila banyak menyumbang kepada pembinaan dan aktiviti masjid, surau dan pusat tahfiz di negara ini.

Katanya, orang Melayu juga berlumba untuk menyumbang kepada rakyat Palestin, Kemboja, Syria, Bosnia dan belasan negara luar yang memerlukan bantuan.

"Orang Melayu tidak kedekut, apalagi untuk tujuan agama dan pendidikan. Sikap ibu bapa Melayu yang dikatakan 'liat' menyumbang kepada PIBG atau pihak sekolah ini bukan muncul tiba-tiba, sebaliknya ia adalah respon kepada bagaimana mereka sebagai ibu bapa dilayan pihak berkuasa pendidikan," katanya.

Anuar berkata, bezanya di SJKC, ibu bapa dilibatkan dalam urusan sekolah yang mana LPS berfungsi membuat keputusan penting untuk pengurusan sekolah termasuk boleh mencadangkan pertukaran tugas pengetua atau guru besar.

Beliau berkata, pengetua atau guru besar dikehendaki membentangkan laporan kemajuan sekolah kepada LPS dengan setiap sen sumbangan ibu bapa dan pihak swasta akan diteliti sedalam-dalamnya oleh lembaga berkenaan.

"Apabila ibu bapa dilibatkan dalam urusan sekolah dan dimaklumkan secara teliti setiap sen perbelanjaan hasil sumbangan mereka, ini akan timbulkan rasa kepercayaan yang tinggi mereka kepada pihak sekolah.

"Sebab itulah juga sumbangan akan selalu diterima. Ibu bapa mana yang sanggup beri sumbangan besar jika mereka sendiri tiada rasa kesepunyaan pada sekolah anak mereka," katanya.

Susulan itu, Anuar berkata, sekolah perlu diberi autonomi dan ibu bapa merancang pembangunan sekolah masing -masing.

"Jangan terlalu mengamalkan budaya terlalu berpusat, takkanlah semua perkara perlu tunggu jawapan dari Putrajaya.

"Jika ibu bapa sudah ada rasa kesepunyaan (sense of belonging) dan ada kepercayaan yang tinggi pada pihak sekolah, sudah pasti tidak timbul isu yuran PIBG atau sumbangan kepada pihak sekolah," katanya.

Berita Harian X