Selasa, 27 Februari 2024 | 2:05pm
Muhammad Amin al-Idrisi.
Muhammad Amin al-Idrisi.

JAKIM nafi terima dokumen nasab Mawla Amin

KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) nafi menerima bukti dokumen nasab seorang lelaki Algeria, Muhammad Amin al-Idrisi yang didakwa mempunyai susur galur keturunan Nabi Muhammad.

Penafian itu susulan kenyataan penganjur programnya di negara ini – Nur Al Mustafa Malaysia – minggu lalu yang mendakwa telah mengemukakan bukti dokumen kepada JAKIM.

Menerusi Facebook, JAKIM dalam kenyataannya menyebut: Susulan kenyataan oleh pihak Nur Al Mustafa Malaysia dalam sidang media yang diadakan berhubung nasab 'Mawla Amin' yang memaklumkan bahawa pihak mereka telah mengemukakan bukti dokumen berkaitan kepada pihak JAKIM, dimaklumkan bahawa JAKIM tidak menerima sebarang dokumen sebagaimana yang dinyatakan.

Sebelum ini, dalam laporan eksklusif Harian Metro melaporkan seorang lelaki mendakwa warganegara Maghribi yang dikenali dalam kalangan pengikutnya sebagai 'Mawla Mohamed Amin al-Hassani' mengaku bahawa mempunyai jalur keturunan ke-38 daripada Nabi Muhammad SAW pernah datang ke negara ini, dua tahun lalu anjuran sebuah madrasah.

Madrasah itu juga terpalit dengan kes salah laku yang membabitkan mudirnya memukul pelajarnya.

Sehubungan itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memantau kegiatan lelaki itu susulan laporan mengenai seorang mudir sebuah madrasah di Selangor yang turut aktif mempromosi Mawla Amin mengutip dana awam secara tidak sah selain cuba mewujudkan satu perkampungan Kerajaan 9 di Melaka sebagai persiapan akhir zaman kepada pengikutnya.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain dipetik berkata, PDRM sedang memantau pergerakan 'Mawla Amin' dan pengikutnya termasuk madrasah itu yang beroperasi di Selangor.

Berita Harian X