Selasa, 27 Februari 2024 | 12:10pm
Tan Sri Rafidah Aziz
Tan Sri Rafidah Aziz

Langkah penjimatan harus disasar terhadap program 'ad hoc' kerajaan - Rafidah

KUALA LUMPUR: Pemotongan kos untuk langkah penjimatan harus disasarkan kepada program 'ad hoc' yang membazir, membabitkan pelbagai jenis acara di semua peringkat kerajaan.

Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz, menyifatkan langkah mendiscaj pesakit dalam kalangan penjawat awam dan pesara kerajaan daripada Institut Jantung Negara (IJN) adalah langkah penjimatan yang tidak berperikemanusiaan.

Katanya, kemudahan kesihatan kepada penjawat awam dan bekas kakitangan kerajaan di IJN adalah sebahagian daripada pakej persaraan.

"Langkah penjimatan bukan bermain dengan nyawa pesakit yang memerlukan rawatan perubatan, yang tidak dapat diberikan oleh hospital lebih kecil dan klinik.

"Mereka sudah berkhidmat untuk negara sepanjang hayat dan kini kita meminta mereka pergi ke klinik kerajaan yang tidak mempunyai kepakaran mahupun peralatan serta ubat-ubatan untuk merawat pesakit yang memerlukan penjagaan yang sangat khusus," katanya dalam satu kenyataan di media sosial.

Rafidah berkata, laporan berhubung tindakan itu disifatkan sebagai perkembangan paling mengejutkan daripada Kerajaan Madani.

"Adakah Kerajaan MADANI tiba-tiba mengambil pusingan U yang tajam dan IJN melakukan sesuatu yang bertentangan dengan intipati 'Madani'.

"Ini adalah peristiwa yang menyedihkan," katanya.

Terdahulu, KKM menyangkal laporan yang mendakwa IJN kini dalam proses discaj semua pesakit dari kalangan penjawat awam dan pesara berikutan langkah penjimatan kos kerajaan.

Berita Harian X