Selasa, 27 Februari 2024 | 11:42am
 Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad. - Foto BH
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad. - Foto BH

'Discaj pesakit yang stabil, bagi peluang lebih ramai yang kronik dirujuk, dirawat di IJN'

KUALA LUMPUR: Tindakan mengeluarkan pesakit yang stabil daripada Institut Jantung Negara (IJN) dibuat bagi membolehkan lebih ramai pesakit lain yang lebih kronik dirujuk dan mendapat rawatan di fasiliti berkenaan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata Kementerian Kesihatan (KKM) menggunakan pembiayaan tahunan Persekutuan yang diterima daripada Kementerian Kewangan bagi merujuk pesakit jantung ke lJN.

Katanya, bagi memastikan lebih ramai pesakit lain dirujuk ke lJN, pesakit sedia ada dibenarkan discaj apabila keadaan mereka sudah stabil sebelum mereka dirujuk ke pusat jantung KKM yang lain.

"KKM mempunyai tujuh hospital yang mempunyai Perkhidmatan Kardiologi dan tiga termasuk mempunyai Perkhidmatan Kardiotorasik.

"Pusat Jantung KKM juga diuruskan Pakar Kardiologi dan Pakar Bedah Kardiotorasik yang memiliki reputasi serta bertauliah. Paling penting, KKM akan terus memastikan penjagaan dan keselamatan pesakit terbabit tidak terjejas," katanya dalam kenyataan, semalam.

Dr Dzulkefly berkata, KKM merujuk kes kompleks dan pesakit jantung kritikal ke IJN bagi mengurangkan kesesakan dan masa menunggu yang lama di pusat jantung KKM yang lain.

Terdahulu, KKM menyangkal laporan mendakwa IJN kini dalam proses mengeluarkan semua pesakit dalam kalangan penjawat awam dan pesara berikutan langkah penjimatan kos kerajaan.

Katanya, IJN hanya akan mendiscaj pesakit yang stabil dengan tempoh pemantauan sekurang-kurangnya enam bulan hingga setahun bagi dewasa dan satu hingga dua tahun bagi kanak-kanak.

KKM berkata, pesakit yang stabil kemudian akan kembali kepada hospital KKM bagi penjagaan berterusan di jabatan kardiologi dankardiotoraks.

"Pendekatan strategik ini membolehkan kira-kira 4,000 pesakit baharu dirujuk ke IJN setiap tahun, sekali gus memaksimumkan keberkesanan kos.

"Perlu ditekankan, kos membabitkan rujukan pesakit kepada IJN dibiayai perbelanjaan Persekutuan yang disediakan Kementerian Kewangan. Walaupun perbelanjaan untuk rujukan ini meningkat setiap tahun, langkah kawalan kos yang berhemat adalah penting untuk merawat seramai mungkin pesakit dengan sumber sedia ada, selain memastikan keadilan kepada pembayar cukai," katanya.

KKM berkata, adalah penting untuk menjelaskan beberapa salah tanggapan berhubung perkhidmatan kardiologi di negara ini dan hubungan kerjasama antara KKM dan IJN.

Katanya, sehingga 1992, IJN dikendalikan di bawah Hospital Besar Kuala Lumpur (HKL), namun ia kini sebuah entiti korporat milik kerajaan, khusus dalam perkhidmatan kardiovaskular dan kardiotoraks.

"Sepanjang dua dekad lalu, IJN dan KKM kekal sebagai rakan kongsi lama, dengan IJN memberi sokongan kepada hospital awam melalui rujukan pesakit.

"Ketika ini, 10 hospital KKM menawarkan perkhidmatan kardiologi dan tujuh menyediakan perkhidmatan kardiotoraks seluruh negara," katanya.

KKM berkata, bersama-sama dengan hospital terbabit, IJN berfungsi sebagai pusat rujukan untuk pesakit yang memerlukan perkhidmatan kardiologi dan kardiotoraks, termasuk penjawat awam, pesara bersama tanggungan mereka.

Katanya, bertentangan dengan implikasi artikel berkenaan, hospital KKM mempunyai kemudahan lengkap dan dikendalikan pakar perubatan serta pakar bedah bertauliah, yang menawarkan perkhidmatan setanding dengan IJN.

"Strategi merujuk kes yang rumit dan kritikal kepada IJN adalah bagi mengoptimumkan penggunaan sumber dan memastikan akses orang awam kepada perkhidmatan hospital KKM.

"Jadi, berkongsi beban pesakit dengan IJN tidak boleh disalah anggap sebagai sebarang bentuk ketidakupayaan oleh hospital KKM," katanya.

Berita Harian X