Selasa, 27 Februari 2024 | 11:17am
 Pendatang asing yang ditahan Jabatan Imigresen dalam Operasi Khas di Kubang Kerian Kelantan, Rabu lalu. Foto ihsan Jabatan Imigresen
Pendatang asing yang ditahan Jabatan Imigresen dalam Operasi Khas di Kubang Kerian Kelantan, Rabu lalu. Foto ihsan Jabatan Imigresen

'PATI diletak di rumah penampungan dulu sebelum dihantar ke destinasi tertentu...'

PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) di Kelantan yang menjadikan rumah penampungan atau transit bagi menempatkan PATI terbabit sebelum mereka dihantar ke destinasi tertentu, selepas menahan dua lelaki tempatan dan enam warga asing pada Rabu lalu.

Taktik digunakan sindiket penyeludupan migran di Kubang Kerian, Kelantan bagi mengelak dikesan Jabatan Imigresen itu dibongkar menerusi Operasi Khas yang diadakan bermula jam 11 malam susulan maklumat awam dan risikan dijalankan sejak awal bulan ini.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh, berkata seramai 15 anggota dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas Ibu Pejabat Jabatan Imigresen Putrajaya serta Kelantan mengesan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Aruz dipercayai dipandu lelaki yang menjadi transporter di laluan Kubang Kerian ke Pasir Puteh.

Beliau berkata, pasukan operasi kemudian mengarahkan pemandu itu memberhentikan kenderaan untuk pemeriksaan, namun kereta dipandu laju untuk melarikan diri itu berjaya ditahan di kawasan Simpang Tiga, Jalan Bukit Marak, Bachok.

"Kita menahan pemandu lelaki tempatan berusia 40-an dan pemeriksaan dalam kenderaan menemui enam warga Myanmar iaitu masing-masing tiga lelaki dan wanita berusia antara 17 hingga 25 tahun.

"Mereka dipercayai dalam perjalanan dari rumah penampungan menuju ke destinasi ditetapkan sindiket," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ruslin berkata, soal siasat ke atas pemandu lelaki terbabit kemudian membawa pasukan ke sebuah premis di sekitar Demit, Kota Bharu yang dipercayai digunakan sebagai rumah penampungan bagi transit PATI berkenaan.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati sindiket mengubah modus operandi dengan tidak menggunakan terminal pengangkutan awam, sebaliknya menjadikan rumah penampungan untuk menempatkan sementara PATI yang baru diseludup dari sempadan sebelum dipindahkan menggunakan transporter ke sekitar Seremban dan Kuala Lumpur.

Katanya, transporter akan dibayar antara RM1,000 sehingga RM1,200 bagi setiap pergerakan tertakluk kepada jarak perjalanan.

"Semua yang ditahan dibawa ke Pejabat Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Kelantan untuk tindakan lanjut. Kita turut merampas wang tunai RM4,500, telefon bimbit dan kenderaan digunakan dalam kegiatan itu," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

Berita Harian X