Selasa, 27 Februari 2024 | 11:00am
Mohd Asyraf (kiri) tanggung tugas Ketua Eksekutif LTAT, manakala Isham pangku jawatan Pengerusi.
Mohd Asyraf (kiri) tanggung tugas Ketua Eksekutif LTAT, manakala Isham pangku jawatan Pengerusi.

LTAT: Mohammad Ashraf tanggung tugas Ketua Eksekutif, Isham pangku jawatan Pengerusi

KUALA LUMPUR: Ketua Pegawai Kewangan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Mohammad Ashraf Md Radzi, dilantik memangku jawatan Ketua Eksekutif entiti itu berkuat kuasa serta merta.

Ia susulan kekosongan jawatan itu selepas penyandangnya, Datuk Ahmad Nazim Abd Rahman, mengundurkan diri berkuat kuasa 31 Januari lalu.

Timbalan Pengerusi LTAT, Datuk Seri Isham Ishak yang juga Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan pula akan menanggung tugas Pengerusi yang sebelum ini disandang Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ketika menjawab soalan Datuk Khlir Mohd Nor (PN-Ketereh) ketika Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Khir mahu Kementerian Pertahanan menyatakan apakah tindakan diambil berhubung isu LTAT susulan peletakan jawatan beberapa pegawai kanan dalam entiti berkenaan baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Mohamed Khaled menjelaskan peletakan jawatan tiga pegawai kanan LTAT adalah perkara yang sentiasa dipantau oleh kementerian.

Sehubungan itu, beliau memberi jaminan isu berkenaan tidak akan memberi impak yang boleh mengganggu operasi dan perkhidmatan LTAT.

"Bagi organisasi seperti LTAT, perlantikan tanggungjawab ini bukan perkara yang pelik. Ia pernah dilaksanakan sebelum ini semasa pelantikan jawatan Ketua Eksekutif, Datuk Nik Amlizan Mohamed pada 2020 dan peletakan jawatan Datuk Seri Amrin Awaluddin pada 2021," katanya.

Ketika ini, Khaled berkata LTAT sudah pun memuktamadkan calon berwibawa untuk mengisi jawatan sebagai Ketua Eksekutif.

Bagi jawatan Pengerusi, beliau berkata LTAT juga sedang meneliti calon yang layak dalam kalangan bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk dipertanggungjawab mengisi jawatan itu.

"Saya ingin menegaskan Kementerian Pertahanan komited terus memantau dan memastikan operasi serta strategi yang telah dirancang bagi menjadikan LTAT sebagai sebuah dana persaraan yang mampa, diteruskan dengan sewajarnya.

"Fokus kementerian dan LTAT adalah untuk memastikan nilai wang simpanan anggota ATM terus dilindungi dan berkembang di samping memastikan kestabilan dan kelestarian dana pelaburan LTAT bagi tempoh jangka masa panjang," katanya.

Isu terbabit bermula apabila Ahmad Nazim mengumumkan pengundurannya berkuat kuasa 31 Januari lalu.

Susulan itu, Raja Mohamed Affandi pula mengumumkan peletakan jawatannya seminggu kemudian, sebelum disusuli Pengarah Kanan Strateginya, Dayana Rogayah Omar.

Berita Harian X