Selasa, 27 Februari 2024 | 10:22am
Poster ucapan tahniah yang dikongsikan Tourism Malaysia menerusi Facebook
Poster ucapan tahniah yang dikongsikan Tourism Malaysia menerusi Facebook

Manoharan dilantik sebagai Ketua Pengarah Tourism Malaysia

KUALA LUMPUR: Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia) secara rasmi melantik bekas Pengarah Tourism Malaysia untuk India, P Manoharan, sebagai Ketua Pengarahnya yang baharu, berkuat kuasa semalam.

Manoharan sebelum ini pernah berkhidmat sebagai Pengarah Kanan Promosi Antarabangsa (Asia dan Afrika) di Tourism Malaysia.

Tiada sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan Tourism Malaysia berhubung perlantikan Manoharan, kecuali perkongsian poster ucapan tahniah oleh Lembaga Pengarah, Pengurusan dan kakitangan lembaga itu yang disiarkan menerusi Facebook.

Manoharan pernah berkhidmat selama tiga penggal sebagai Pengarah Tourism Malaysia untuk India, dan dilaporkan memainkan peranan penting dalam penubuhan pejabat Pertubuhan Pelancongan Kebangsaan pertama di Mumbai pada tahun 2001.

Perlantikan Manoharan dibuat susulan tindakan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing, mengambil langkah menamatkan perkhidmatan penyandang jawatan itu, Datuk Dr Ammar Abd Ghapar.

Pada Sabtu, King Sing menjelaskan Ammar diturunkan pangkat daripada jawatan Ketua Pengarah kerana gagal mencapai prestasi kerja yang ditetapkannya.

Pada Jumaat, Ammar yang dilantik sebagai Ketua Pengarah sejak April tahun lalu, mengesahkan kepada media mengenai surat pemecatan dikeluarkan oleh menteri terhadapnya, sambil meluahkan rasa kecewa terhadap tindakan itu selepas berkhidmat selama 36 tahun dalam industri pelancongan

Ammar yang dijadualkan bersara pada Mac tahun depan, menegaskan sebagai kakitangan kerajaan yang telah lama berkhidmat, beliau sentiasa melakukan tugas mengikut prosedur dan tatacara betul.

Berita Harian X