Isnin, 26 Februari 2024 | 8:37pm
Dari kiri Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakr, dan Datuk Seri Abdul Rahman Osman
Dari kiri Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakr, dan Datuk Seri Abdul Rahman Osman

'Boleh makan, minum di kubur tetapi jangan menjurus khurafat, melampaui akidah'

KUALA LUMPUR: Mereka yang kematian ahli keluarga, tidak seharusnya meraikan secara berlebihan ulang tahun kelahiran si mati, terutama hingga menjadikan tanah perkuburan sebagai medan sambutan, kerana ia bukan budaya Islam, apatah lagi mengenangkannya seperti masih hidup.

Bekas Mufti Pahang, Datuk Seri Abdul Rahman Osman, berkata lebih afdal jika majlis tahlil dibuat di rumah dan diikuti dengan melakukan ziarah di kubur kerana ziarah si mati dituntut dilakukan pada bila-bila masa.

"Apabila berada di kubur, kita disunatkan berzikir serta berdoa. Tanah perkuburan bukan tempat untuk berpesta atau bersukaria, malah dalam Islam ia tidak melarang seseorang makan atau minum.

"Perbuatan tidak bercanggah dengan agama serta tidak khurafat, tidak dilarang. Jadi kalau ada keluarga mengingati si mati sempena ulang tahun hari lahirnya, bukan salah, cuma ia bukan perkara lazim dilakukan dalam masyarakat kita.

"Namun lebih baik sekiranya masyarakat membudayakan kelaziman supaya lebih kerap menziarah kubur kerana ia mengingatkan kita akan kematian, tetapi biar menziarahinya dengan membaca al-Quran kerana satu hari kita juga akan meninggal dunia," katanya kepada BH.

Sebelum ini tular di media sosial apabila sebuah keluarga memuat naik hantaran ke media sosial yang memperlihatkan mereka membawakan kek dan menyanyikan lagu 'Happy Birthday' di pusara ahli keluarga yang menjadi mangsa pembunuhan.

Video itu mendapatkan ribuan tanda 'suka' berikutan kisah kematian si mati masih mendapat perhatian ramai seluruh negara dan dalang yang melakukannya belum dapat ditangkap.

Abdul Rahman bagaimanapun berkata, orang ramai tidak boleh menormalisasikan perbuatan 'bergembira' kerana perlu mengingati azab kubur dan menghormati tempat persemadian umat Islam itu.

"Dalam Islam sambutan hari lahir (hari Hol) boleh dibuat tetapi adab menziarahi kubur perlu diambil perhatian kerana ziarah itu dituntut dan tidak hanya dibuat ketika tiba musim perayaan seperti menjadi kelaziman dalam masyarakat.

"Malah jika dahaga atau lapar dibolehkan makan di tanah perkuburan, bahkan untuk meniup lilin. Tetapi perbuatan itu jangan bercanggah atau melakukan perbuatan yang menjurus khurafat.

"Di Mesir contohnya, ada keluarga datang ke kubur dan mereka makan bersama-sama. Ia tidak dilarang dalam Islam, tapi biarlah perbuatan itu berpada-pada, tidak melampaui akidah," katanya.

Sebagai contoh, katanya, jangan hanya mendahului sambutan tetapi tidak membaca al-Quran.

"Jangan hanya tiup lilin tetapi tidak membaca al-Quran, itu sudah bercanggah. Bagi saya lebih baik melakukan tahlil di rumah, kemudian ziarah di rumah. Sekiranya ada jamuan, biarlah dibuat di rumah," katanya.

Sementara itu, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, menyarankan keluarga yang kematian ahli keluarga disaran menggantikan perbuatan meraikan orang meninggal dunia dengan menjamu makan kepada anak-anak yatim.

"Menjamu anak yatim atau memberi makan kepada fakir miskin adalah lebih baik kerana manfaatnya jauh lebih besar buat dirinya, di samping memohon keampunan buatnya.

"Tindakan membawa kek atau menyanyikan lagu juga hendaklah dihentikan dan digantikan dengan doa dan begitu juga digantikan dengan sedekah kepada si mati. Ini yang dianjurkan dalam Islam," katanya.

Beliau berkata, melalui perbuatan itu pahala hasil memberikan makan kepada orang lain sampai kepada si mati, walaupun dia sudah berada di alam barzakh.

"Semoga tindakan dilakukan itu, dipandu oleh syarak dan disuluh oleh hadis nabi dan seterusnya kita menjadi orang yang benar-benar mengikuti ajaran Islam," katanya.

Berita Harian X