Isnin, 26 Februari 2024 | 6:12pm
Abang Johari meninjau padi dihasilkan dalam projek perintis tanaman padi hibrid di Kampung Lubok Punggur, Gedong. NSTP/MOHD ROJI KAWI
Abang Johari meninjau padi dihasilkan dalam projek perintis tanaman padi hibrid di Kampung Lubok Punggur, Gedong. NSTP/MOHD ROJI KAWI

Sarawak buka 10,000 hektar sawah padi, mampu tangani isu beras mahal

GEDONG :Sarawak yakin tidak akan menghadapi krisis bekalan beras apabila kawasan seluas 10,000 hektar yang ditanam dengan padi hibrid mengeluarkan hasil sepenuhnya dalam tempoh tiga tahun lagi.

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg, berkata berdasarkan hasil kajian dilaksanakan Universiti Putra Malaysia (UPM), kawasan penanaman padi di Gedong, Simunjan, Lundu, Banting dan Lingga mampu mengeluarkan beras sekali ganda lebih banyak daripada jumlah yang diimport ketika ini.

Justeru, katanya, dengan pengeluaran dianggarkan 400,000 tan dalam tempoh 24 bulan di kawasan tanaman yang sudah dibuka itu, Sarawak dalam keadaan selamat daripada masalah kekurangan bekalan beras pada masa depan.

"Antara faktor membuatkan harga beras mahal ialah kita mengimport dari luar negara khususnya India dan Vietnam, jadi kita menggunakan mata wang Amerika Syarikat (AS).

"Sebab itu, saya memutuskan untuk membuka kawasan penanaman yang luas dan meminta pakar termasuk daripada UPM untuk menjalankan kajian, termasuk penggunaan teknologi terkini dan jentera serta kesesuaian tanah kerana apabila kita mengeluarkan beras sendiri, kita boleh mengawal harga lantai apabila tidak bergantung kepada mata wang asing lagi," katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau penuaian padi hasil projek perintis yang dilaksanakan UPM di Kampung Lubok Punggor, di sini, hari ini.

Abang Johari berkata, menerusi projek perintis itu yang dijalankan bersama penduduk Kampung Lubok Punggor, satu hektar sawah mampu menghasilkan antara lima hingga lapan tan padi semusim.

"Dalam tempoh 24 bulan, penanaman dijalankan lima musim dan ini bermakna dalam tempoh itu, satu hektar boleh menghasilkan sehingga 40 tan padi dan penduduk terbabit dalam projek ini mempunyai dua hektar sawah yang bermakna mereka mampu menghasilkan 80 tan dalam tempoh 24 bulan itu.

"Jadi, jika kawasan 10,000 hektar mengeluarkan hasil, dalam tempoh 24 bulan kita dapat menghasilkan 400,000 tan beras dan jumlah padi dihasilkan petani tempatan itu jauh lebih tinggi daripada 245,000 tan yang kita import sekarang," katanya.

Justeru, Abang Johari berkata, Kerajaan Sarawak menyediakan peruntukan besar untuk membina sistem perparitan atau tali air sempurna di semua kawasan yang akan dijadikan jelapang padi ini.

"Untuk kawasan Lubok Punggur ini saja, sejumlah RM30 juta disediakan Kerajaan Sarawak untuk membina tali air," katanya.

Beliau berkata, bagi meningkatkan pendapatan petani tempatan, Kerajaan Sarawak juga meningkatkan harga lantai padi yang dihasilkan.

"Jika di peringkat nasional harga lantai ditetapkan adalah RM1,300 bagi satu tan, Kerajaan Sarawak pula menetapkan RM1,800 satu tan bagi padi dihasilkan petani tempatan.

"Ini bukan saja mampu meningkatkan pengeluaran, malah membantu meningkatkan pendapatan petani daripada RM1,000 semusim kepada RM6,000," katanya.

Berita Harian X