Isnin, 26 Februari 2024 | 4:13pm
 Gambar hiasan
Gambar hiasan

Harga kelengkapan sekolah mahal, ibu bapa perlu berjimat, beli hanya yang perlu

KUALA LUMPUR: Kenaikan kos barangan keperluan persekolahan seperti beg, kasut, baju beruniform, buku latihan dan lain-lain keperluan kali ini amat membebankan ibu bapa terutama bagi mereka yang memiliki ramai anak yang bersekolah.

Kebanyakan mereka terpaksa memperuntukkan kos lebih RM500 untuk seorang anak bagi menyediakan kelengkapan persekolahan bagi memasuki sesi baharu pendidikan mereka tahun ini yang bermula pada bulan depan.

Penjawat awam dikenali sebagai Tom, berkata bagi tahun ini, beliau memperuntukkan antara RM600 hingga RM700 bagi setiap anaknya yang masing-masing bakal memasuki Tahun Tiga dan pendidikan pra-sekolah.

Katanya, kos itu meningkat hampir RM100 seorang susulan kenaikan harga barangan persekolahan berbanding tahun sebelumnya.

"Saya akui harga barang keperluan persekolahan anak meningkat kali ini berbanding sebelum ini, contohnya beg sekolah yang dulu berharga RM25, sekarang sudah jadi RM50. Harga kasut sekolah anak pula naik sekali ganda, manakala harga baju seragam dilihat masih kekal," katanya kepada BH.

Beliau berkata, bayaran insentif RM2,000 yang diberi kerajaan kepada semua penjawat awam pada Jumaat lalu, banyak membantu mengurangkan beban perbelanjaan persediaan persekolahan anak-anaknya.

Juruteknik makmal, Mohd Nasrul Mohamad Jafri pula berkata, beliau sudah membeli sebahagian keperluan persediaan persekolahan anak pada Isnin lalu dan mendapati kebanyakannya meningkat berbanding tahun lalu.

Katanya, jumlah keseluruhan dikeluarkan bagi pembelian keperluan itu setakat ini mencecah RM600 bagi tiga anaknya yang berumur empat, lapan dan 13 tahun.

"Saya sudah membeli dua pasang baju sekolah menengah, masing-masing sepasang bagi baju sekolah rendah, agama dan tadika Kemas, sepasang baju sukan serta tiga pasang kasut," katanya.

Eksekutif bank, Muhammad Amir Hakim Mohd Amin, 37, berkata peningkatan kos bagi kelengkapan persekolahan menyebabkan beliau hanya akan membeli keperluan persekolahan anaknya bagi menggantikan barangan yang rosak atau menambah apa yang perlu saja.

"Rakan yang sudah membeli barang kelengkapan persekolahan anak termasuk buku latihan memaklumkan peningkatan harga sangat ketara kali ini. Jadi, kita perlu bijak berbelanja dan berjimat cermat membeli barangan persekolahan anak.

"Bagaimanapun, harga yuran taska dan tambang bas masih kekal seperti tahun lalu," katanya yang mempunyai dua anak masing-masing berusia empat dan lapan tahun.

Sementara itu, Yang Dipertua (YDP) Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Bangsar, Mohd Yazid Mohd Yasin, berkata ahli jawatankuasa (AJK) PIBG sekolah itu tidak berhasrat menaikkan sumbangan atau yuran pada tahun ini, susulan keadaan semasa ekonomi negara.

"Kita akan kekal dengan jumlah sumbangan atau yuran lama iaitu RM105 untuk satu keluarga," katanya.

Bagi YDP PIBG Sekolah Rendah Agama Saujana Utama (SRASU), Norman Naim Muhamad Rani, yuran PIBG sekolah itu masih kekal RM40 bagi setiap keluarga.

Beliau yang memiliki tiga anak berusia enam, 10 dan 12 tahun, berkata perlu menyediakan peruntukan lebih besar kali ini kerana anaknya mengikuti ujian Penilaian Sekolah Rendah Agama (PSRA) Tahun Enam, selain membayar yuran lain bagi kelas tambahan dan kursus sekolah.

Berita Harian X