Isnin, 26 Februari 2024 | 12:42pm
Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud. Gambar fail
Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud. Gambar fail

'Agenda perkasa, martabat mutu pendidikan dan pelajar UiTM dibawa ke KEB 2024'

PUTRAJAYA: Agenda bagi memperkasakan dan memartabatkan mutu pendidikan pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) antara perkara yang akan dibawa Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) ke Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024, dijadualkan berlangsung pada 29 Februari hingga 2 Mac ini.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud, berkata sebagai sebuah institusi pendidikan tinggi yang dikhususkan kepada golongan Bumiputera, kualiti pendidikan dan penghasilan graduan perlu dipertingkat dari semasa ke semasa bagi memastikan graduan dilahirkan memenuhi kehendak pasaran.

"KPT sudah berbincang bahawa UiTM perlu diperkukuhkan kerana kita mahu pastikan kualiti pendidikan dalam kalangan Bumiputera dapat dipertingkatkan.

"Ini yang akan kita tekankan dan perkasakan, jadi kita akan bawa agenda UiTM ini ke KEB," katanya.

UiTM yang ditubuhkan pada 1956 adalah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang hanya menerima kemasukan penuntut Bumiputera khususnya dari kawasan pedalaman dan golongan B40.

Sehingga kini, UiTM melahirkan lebih sejuta graduan membabitkan kira-kira 515 program pengajian di 34 kampus di seluruh negara.

Pada 14 Februari lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, sebanyak 10 kluster membabitkan 10 sektor akan diwujudkan pada KEB 2024 iaitu Reformasi Pendidikan dan Modal Insan; Institusi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional Pilihan Kerjaya Utama dan Pengukuhan Industri Halal; Pembangunan Desa dan Pemerkasaan Masyarakat Orang Asli; Penciptaan Kekayaan dan Penguasaan Korporat; Daya Saing Perusahaan Bumiputera; Penguasaan Teknologi Baharu; Felda dan Tanah Wilayah; Sosioekonomi Bumiputera Sabah serta Sosioekonomi Bumiputera Sarawak.

Bertemakan 'Positif, Progresif, Inovatif', KEB 2024 ialah landasan penting dalam mencari jalan lebih serius bagi memperkasakan ekonomi Bumiputera khususnya aspek teknologi baharu dan pelan futuristik untuk generasi akan datang.

Selaras penganjuran KEB 2024 yang bersifat inklusif itu, Mustapha berkata, KPT mengambil peluang untuk mengetengahkan agenda UiTM bagi meningkatkan kompetensi institusi pendidikan itu pada peringkat global dan memacu kebolehpasaran graduan UiTM.

"UiTM ini jantung untuk menjadikan negara maju, maka kita kena lahirkan bakat tempatan yang memang diperlukan negara. Oleh itu, hasrat ini perlu kita tekankan dan perkasakan untuk kita pastikan UiTM dapat sediakan akses pendidikan berkualiti serta menjamin kelangsungannya," katanya.

Pada 30 Januari lalu, sebuah portal melaporkan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir bersetuju membawa agenda UiTM ke KEB.

Keputusan itu dicapai pada sesi kunjungan hormat Majlis Bumiputera Bertindak, iaitu sebuah badan bebas bagi memantau tataurus dan tatakelola UiTM.

Mengulas penganjuran KEB 2024, Mustapha menyifatkan kongres itu sebagai lebih terangkum yang bukan saja membabitkan penyertaan masyarakat Melayu dan Bumiputera, malah turut membabitkan penyertaan masyarakat Cina, India serta wakil dari dewan perniagaan Melayu, Kadazan, Dusun, Iban dan Dayak serta komuniti Orang Asli.

Mustapha berkata, pendekatan dibawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu bertujuan kongres yang menyasarkan penyertaan lebih 3,000 peserta itu dilihat tidak hanya tertumpu kepada perbincangan mengenai masalah dihadapi golongan Bumiputera saja.

"Contohnya kalau kita bercakap isu kemiskinan, ia tidak berlaku dalam kalangan Bumiputera saja tetapi ada juga masyarakat lain menghadapi masalah sama. Jadi ini yang sedang cuba dibawa Perdana Menteri supaya kita memberi suatu perspektif baharu dalam menangani isu kemiskinan di negara ini," katanya.

Berkongsi harapan terhadap KEB 2024, Mustapha berkata, semua pihak perlu memberi sokongan kepada kongres itu yang kali pertama diadakan pada 7 Jun 1965.

"Kita harap ramai hadir ke KEB, ini penting untuk kita menilai kembali bagaimana status ekonomi, pendidikan dan sosial Bumiputera, maka kita dapat lihat di mana kedudukan kita dan apa yang perlu ditambah baik," katanya. – BERNAMA

Berita Harian X