Isnin, 26 Februari 2024 | 12:16pm

'Malaysia perlu tegas suarakan sokong keamanan, tentang keganasan pada peringkat antarabangsa'

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong menggesa supaya pendirian Malaysia mendukung keamanan dan menentang keganasan perlu disuarakan lebih tegas pada peringkat antarabangsa.

Serentak itu, Sultan Ibrahim bertitah, peranan aktif Malaysia baik pada peringkat ASEAN mahupun peringkat dunia perlu terus dimainkan bagi memupuk semangat perpaduan dan memacu kemajuan mengambil kira cabaran geopolitik serta perkembangan serantau.

"Malaysia perlu menyuarakan ketegasan pendirian berhubung isu Palestin dengan menggesa supaya gencatan senjata segera diaktifkan dan akses bantuan kemanusiaan dipercepatkan kepada penduduk Gaza di Palestin," titah baginda merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen Ke-15, hari ini.

Turut berangkat ke istiadat itu, Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah.

Sementara itu, Sultan Ibrahim turut menzahirkan penghargaan di atas taat setia dan khidmat anggota perkhidmatan awam, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta seluruh agensi kerajaan yang dicurahkan kepada baginda dan negara dengan penuh dedikasi.

"Terima kasih juga saya ucapkan kepada semua rakyat jelata yang mengekalkan perpaduan harmoni, hidup bersatu padu dan berpegang teguh kepada Rukun Negara.

"Marilah kita bersama-sama berusaha dan berdoa semoga Malaysia terus maju dan makmur, aman dan damai serta seluruh rakyatnya menikmati kehidupan sempurna, bahagia dan sejahtera," titah baginda.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menyampaikan Titah Diraja pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga, Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat hari ini. Foto Bernama
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menyampaikan Titah Diraja pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga, Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat hari ini. Foto Bernama
Berita Harian X