Ahad, 25 Februari 2024 | 9:40pm
Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Dr Zulkafperi Hanapi. - NSTP/ AMIRUL AIMAN HAMSUDDIN
Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Dr Zulkafperi Hanapi. - NSTP/ AMIRUL AIMAN HAMSUDDIN

Pindaan perlembagaan BERSATU cubaan takutkan wakil rakyat sokong Anwar

TANJONG KARANG: Usaha meminda perlembagaan BERSATU pada Perhimpunan Agung Khas pada 2 Mac ini dianggap sebagai cubaan menakut-nakutkan enam Ahli Parlimennya yang menyokong kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Dr Zulkafperi Hanapi berkata, beliau juga percaya tindakan sama turut menyasarkan wakil rakyat BERSATU lain yang sedang merancang untuk mengikut jejak langkah sama.

"Apa yang didakwa sahabat saya (Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal), ada lagi lima hingga lapan Ahli Parlimen yang akan mengubah sokongan kepada Anwar.

"Apa yang dilakukan ini sebahagian daripada agenda untuk menakut-nakutkan dan menyekat mereka yang berkira-kira untuk mengubah sokongan," katanya ketika sidang di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Tanjung Karang di Taman Sahabat, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata parti itu akan meminda perlembagaan bagi mengambil tindakan undang-undang ke atas wakil rakyatnya yang berbuat khianat.

Wakil rakyat BERSATU yang didapati khianat boleh kehilangan kerusi.

Ia susulan keputusan mesyuarat MPT BERSATU pada 28 Januari bagi menghalang tindakan khianat dalam kalangan wakil rakyatnya daripada berulang pada masa depan.

Hamzah dilaporkan berkata, mesyuarat itu juga bersetuju mengambil tindakan undang-undang ke atas mana-mana wakil rakyat yang khianat bagi maksud pengosongan kerusi dan BERSATU bersedia untuk berdepan pilihan raya kecil (PRK).

Dr Zulkafperi berkata, pindaan itu yang didakwa bakal menjejaskan status beliau dan lima Ahli Parlimen lain, tidak terpakai kepada mereka.

Bagaimanapun, katanya butirannya akan diserahkan kepada peguam untuk diuruskan.

"Perlembagaan yang nak diubah (pada 2 Mac ini) patutnya (babitkan) yang ke depan dan yang ke belakang (sudah berlaku) sepatutnya tidak terikat mengikut keadaan.

"Mereka mungkin boleh ubah apa-apa (yang mereka mahu), tetapi akhirnya Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) akan menetapkan sama ada pindaan tersebut boleh diterima atau boleh dilakukan," katanya.

Berita Harian X